Dalam meniti hari-hari terkadang jiwa kita resah memikirkan akan segala ujian yang menimpa hidup. Begitu jua seringkali menerjah ruang pemikiran akan terjadinya sesuatu yang kita tidak sukai. Begitulah ceritera kehidupan. Sukar untuk ditafsirkan.

Inginku berkongsi sebagai tanda saling mengasihi, saling memperingatkan dan saling bertegur sapa. Hidup ini payah dan mudah. Ya, kekadang payah itu kerana kita tidak dapat memikirkannya sebagai mudah. Sebab itulah ada pepatah yang mengatakan “ orang yang berjiwa besar melihat masalah itu sebagai kecil” sedangkan orang yang berjiwa kecil melihat masalah sebagai besar”.

Mudah itu bukan kerana tiada kepayahan tetapi kepayahan itu sudah jauh dari pemikiran kita. Kerana payah itu tidak singgah dalam kotak pemikiran kita. Payah dan mudah. Mari sama-sama kita renungi maksud kalam suci;

Maksudnya: “Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan” –S.AQ Al Insyirah ayat 5 dan 6.

Dan daripada ayat yang lain;

Maksudnya: “dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap” S.A.Q Al Insyirah ayat 8.

Betapa benar dalam setiap kesulitan ada kemudahan dan hanya kepada Tuhanlah tempat kita berharap sesuatu perkara.

Sesudah kita melakukan sesuatu maka berharaplah hanya kepada Allah. Nasihat ini ditujukan buat diri ini juga yang sering alpa dengan nikmat dan kurniaan daripada Allah. Yang sering mengeluh apabila disinggahi ujian yang kecil Cuma. Pada yang kini, patah semangat dalam hidup, ayuh, kita teruskan perjalanan ini. Ingatlah wahai diri dan semuanya bahawa dunia ini adalah tempat bercucuk tanam agar dapat dituai diakhirat kelak.

Sungguh perjalanan ini hanyalah suatu yang singkat. Maka beruntunglah mereka yang menggunakan masa yang singkat ini untuk sesuatu yang amat-amat berguna dan menjauhi daripada perbuatan sia-sia. Alangkah bahagianya jika akhirat itu sentiasa dihati kita tidak kira waktu senang ataupun susah.

BUKU PENGALAMAN

Ku dapatkan dua perkataan ini daripada seorang yang akan pencen sekitar dua tahun lagi. Sememangnya buku ini tidak dijual dimana-mana.Tiada yang dapat menjualnya di pasaran kerana buku pengalaman adalah sesuatu yang berharga. Manakan sama orang yang pernah menjadi seorang ibu atau bapa dengan orang yang belum merasainya. Oh, bukankah ini sudah berbeza. Inikan pula bagi orang berpengalaman dalam jerih peritnya meniti perjalanan hidup ini.
Seorang ahli sufi mengatakan “ Biarlah aku sederhana pada pandangan orang lain, rendah pada pandangan sendiri dan tinggi pada pandangan Allah”. Pandangan dinukilkan dalam kitab Ihya’ Ulumuddin. Alangkah sufinya diri ahli sufi ini.
Menjadi dewasa adalah sesuatu yang diimpikan oleh sekalian anak kecil sedangkan orang dewasa mahu kembali kepada zaman kecil-kecil dahulu. Begitulah kita…. Seringkali terfikir bilakah masanya kita akan mensyukuri segala kurniaan secara total.

PENGALAMAN MEMATANGKAN

Orang tua-tua ada menyebut…kami makan garam dulu. Iya, mungkin benar mereka sudah banyak pengalaman. Sekilas ikan di air sudah tahu jantan betinanya. Semakin hari pengalaman akan bertambah. Semoga pengalaman itu akan lebih mematangkan diri. Sejak beberapa hari merasai praktikal, barulah rasa sangat mencabarnya dunia luar. Apa tidaknya jika sebelum ini hanya berkawan dengan buku dan sekarang salah sedikit maka habislah semuanya. Itulah yang menjadikan kita semakin cuba untuk belajar. Mengurangkan kesalahan malah jika boleh meniadakannya dalam hidup kita.

TERUJIKAH KITA?

Jika jawapannya ya bersyukurlah….dan jika jawapannya daku lemah dalam ujian ini maka kembalilah pada Allah. Sememangnya itu yang seharusnya kita lakukan dalam setiap apa yang berlaku. Sememangnya ujian itu datang. Kekadang bisikan halus sentiasa berbisik terutama pada waktu usia meningkat dewasa kini..menyuruh-nyuruh agar mencari teman.. namun adakah caranya itu benar dan betul untuk kita lalui… semoga dipermudahkan jalan dan diredhaiNYA dalam setiap perjalanan hidup kita. Biarlah segala ujian yang terdahulu mematangkan kita dan memimpin untuk perjalanan hari-hari yang akan datang.

Seandainya esok bukan milik kita lagi……….Semoga hari ini adalah hari yang tidak membawa penyesalan buat diri kita. Kejayaan hari esok bermula dengan langkahan pada hari ini… Salam penuh ta’zim daripada insan yang mengharap keredhaan Ilahi ini.
~Meniti hari menginsafi diri meneladani sebuah misi menuju Ilahi~

0 komentar:

Catat Ulasan