Alhamdulillah wa syukrillah….banyak yang berlaku tanpa kita sedar. Banyak yang kita lalui tanpa sempat kita mengimbas sama ada ianya telah kita lalui dengan sebaiknya atau tidak. Untuk saat ini dan waktu ini perasaan syukurlah yang mampu di luahkan. Terasa begitu lemah, terasa tiada apa-apa, terasa sangat-sangat pasrah. Sememangnya perasaan ini agak aneh tapi untukku ianya adalah perasaan istimewa. Setelah sekian lama, perasaan inilah yang ku cari-cari. Perasaan penuh pengharapan pada Yang Maha Kuasa. Setelah diri diulit perasaan yang bercampur baur, alangkah indahnya jika ketenangan yang kita dapati, alangkah baiknya jika kita mencapai pula saat-saat bahagia. Hidup kita juga begitu, terkadang jatuh tapi tetap bangkit kembali. Melalui perasaan pilu, perit dan sendu untuk suatu jangka waktu dan kemudian ketawa pula akhirnya. Allah tidak pernah menzalimi hamba-hambaNYA. Malah hamba itulah yang sering tidak bersangka baik malahan sering menyalahkan sesuatu yang menimpa dirinya.

Melangkah ke tahun baru dengan azam yang baru dan pengalaman yang baru pula. Meninggalkan daerah semalam yang telah menjadi sejarah, yang mungkin mahu atau tidak untuk dikenang. Menukar status daripada tiada ikatan kepada status baru iaitu pelajar. Bergelumang dengan ilmu yang tentunya mencambahkan minda, meningkatkan daya fikir, mengembangkan sel-sel otak seterusnya menjadikan kita lebih yakin dengan sesuatu yang kita amalkan. Subhanallah, tidak pernah ku tahu bahawa halusnya percaturanMU, diberikan mehnah yang berliku untuk mengecap sesuatu, diberikan ujian yang sangat rencam sehingga aku pasrah dan sujud kepadaMU. Ingin aku terus merasainya, menjadikan setiap denyut nadi dan ritma jantungku ini dengan zikir kepadaMU.

Mendapat sahabat yang baik juga anugerah terbesar buat diri. Saat diri melemah akan ada yang hadir menghulurkan kata semangat. Kata-kata itu ibarat tali dan bot-bot penyelamat yang membantu, memberi pengharapan seterusnya menyalakan tekad yang kian membara buat diri ini. Bukan seorang dua yang hadir, tetapi semua, semuanya sekali adalah begitu istimewa. Mereka ibarat penunjuk arah bagi seorang pengembara yang dalam kebingungan, mencari-cari arah, mencari-cari destinasi, mencari-cari pertologan juga. Alangkah indahnya.

Namun dalam ramai-ramai yang istimewa tentu akan ada yang paling istimewa dengan cara yang berbeza, memberi penuh makna serta tidak pernah lekang menghadirkan secebis senyuman. Ia, aku juga mahu menjadi sahabat yang istimewa buat sahabat-sahabatku. Hadir di kala sahabat penuh kerisauan, kebimbangan malahan ketika diri diulit kebahagiaan.Alangkah baiknya jika ini yang sahabatku catatkan buat diriku;

“Terakhir kali menerima perkhabaran sahabatku membuatkan diriku teruja. Terasa masih berharga di matanya.Terasa masih lagi diingati biarpun hanya melalui coretan pena. Dia adalah sahabatku yang paling baik, yang selalu menolongku apabila aku memerlukan. Pernah suatu ketika aku sangat-sangat memerlukan sahabat untuk meminta pandangan, dia dengan tenang dan rela hati mahu menolongku. Tidak pernah ku dengar rungutannya apabila aku meminta untuk menolongku. Dan kini, dia benar-benar mahukan pandanganku, mahukan cetusan idea dariku. Lantas aku dengan rela hati mahu menolongnya pula. Terasa ini biarpun tidak sebanyak pengorbanannya, biarlah sedikit sebanyak boleh meredakan perasaannya, sendu di hatinya dan juga gelisah yang mengamitnya waktu ini.”

Nasihat-nasihat yang pernah ku dapati;

Oleh itu, aku hanya bisa menasihatkanmu agar kembali kepada ALLAH. Istigfar dan teruslah meminta petunjuk daripadaNYA. Aku hanya mampu menasihatkanmu tapi yang melakukannya adalah kamu, yang akan selalu menjalaninya adalah kamu. Jangan berputus asa dengan rahmat ALLAH. Daku yakin dikau akan berjaya mengatasinya kerana selama ini aku telah tahu siapa dirimu. Jadilah seorang yang mencari redha ALLAH dalam setiap perjalanan hidupmu.

1 komentar:

pok cik berkata...

salam....slmt jd cg ye cik yasmira....huhuhu....alhamdulillah...akhir nya...huhuhu...apa2 pn kta ttp sahabat kn...hehehe....

Catat Ulasan