RINTIHAN HATI IBU
Anakku,
Dengarkanlah rintihan dan luahan hati ibu,
Agar tidak tersisa dan terbekas lagi,
Ibu mahu anak yang ibu kandung dan susui ini,
Bisa menjejak kaki ke syurga nan indah,
Namun, untuk sampai ke sana,
Maka perhatikanlah apa yang ibu perkatakan,
Agar bisa menjadi teladan buat semua yang bergelar anak.
Anakku,
Masihkah terpahat di memorimu,
Tika kecil bagaimana ibu memperlakukanmu?
Ibu dengan penuh kasih-sayang membelaimu,
Menjagamu malahan memberikan semua keperluanmu,
Bukan ibu mahu mengungkit,
Apatah lagi ibu mahu kamu mengagungkan ibu,
Ibu hanya mahu kamu sedar bahawa ibu tidak pernah meninggalkanmu waktu itu,
Maksud ibu, sentiasa dekat pada diri dan hatimu,
Hingga kamu meningkat dewasa,
Kamu menjadi orang berjaya,
Kamu mengenal segala-gala,
Maka perhatikanlah kelakuanmu pada ibu,
Ibu sedar, ibu semakin menginjak usia,
Ibu terkadang lupa banyak perkara,
Ibu sudah semakin tidak kuat dan merasa begitu lemah,
Dan kamu, sudah punya keluarga sendiri,
Ibu sudah punyai cucu-cucu yang comel,
Ibu bangga punyai anak sepertimu,
Tapi kenapa kamu?
Setelah mendapatkan segala yang kamu mahu,
Kamu seolah-olah melupakan ibu,
Ibu dipinggirkan,
Segala kata-kata ibu tidak kau dengarkan,
Ibu sudah kau anggap seperti sampah,
Ibu terkadang disakiti dengan kata-kata yang keluar dari mulutmu,
Kau kata Ibu sentiasa mahu itu mahu ini,
Ibu menyekat kamu hingga keluargamu susah kerana ibu,
Ibu itu dan macam-macam lagi,
Kau lupa anakku,
Kau lupa bahwa redha Allah itu adalah jua dengan keredhaan kedua ibu bapa,
Redha ibu yang terpenting,
Hinggakan wajibnya menjawab panggilan ibu melebihi panggilan seorang ayah,
Jadikanlah tempat ibu di tempat yang selayaknya,
Ibu tidak meminta berlebihan,
Cukuplah sekadar membalas kasih ibu sebagaimana ibu mengasihimu….
0 komentar:
Catat Ulasan