Ketika membaca satu artikel di laman web Harakah Daily, mataku tertancap pada satu artikel yang bertajuk"Penulis muda tiada perjuangan? Lalu terdetik untuk meletakkan artikel ini di sini, moga ada manfaatnya. Sama-sama kita renungi!!!

[Kertas kertas ini dibentang dalam Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009 (PPMN09) dengan bertemakan Perjuangan Penulis Muda: Arah dan Cabaran. Ia adalah anjuran Persatuan Penulis Nasional (Pena), Kerajaan Negeri Melaka dan DBP, bertempat di Puteri Resort, Ayer Keroh, Melaka tanggal 22 hingga 24 Mei lalu. Kertas ini disiar semula dengan sedikit suntingan.]

Antara penulis, pengarang, pujangga,Penulis menurut Kamus Dewan bermaksud 'orang yang menulis'. Makna kedua, penulis merujuk terus kepada pengarang (novel, cerpen, dll), penyair, penyajak. Bagaimanapun, dalam tulisan ini, lebih afdal digunakan ungkapan pengarang.

Hal ini kerana ungkapan pengarang ini memperihalkan keadaan jiwa seorang penulis kreatif yang berkecimpung dalam dunia penulisan yang bersifat santai. Atau, kalaupun mereka cuba membawa isu serius sekali pun, mereka bercerita dan mempersembahkan hasil penulisan mereka dalam bentuk santai.

Pendek kata, pengarang itu bukanlah penulis atau pembentang kertas kerja atau orang yang menulis ucapan menteri, menulis ucapan dasar sang presiden dalam mana-mana rapat umum parti politik dan perhimpunan organisasi tertentu. Pengarang itu menurunkan bait-bait perkataannya dengan sepenuh jiwa, menulis dengan menumpahkan kesetiaannya kepada kebenaran dan mencurahkan semua isi hatinya dengan penuh berhati-hati.

Pengarang itu tidak menulis lewat pena, malah menulis melalui hatinya sendiri, dengan penuh keikhlasan dan kejujuran. Bagi seseorang pengarang, mungkin mereka mahu hasil tulisannya mempengaruhi dunia.

Dunia itu seboleh-bolehnya ingin dibiarkannya tunduk berteleku, rukuk dan sujud di bawah kemahuannya iaitu keinginannya yang bersih, jernih dan penuh dengan angan-angan untuk membawa kebaikan ke seluruh alam.

Penulis itu barangkali masih tersekat dengan segala hukum dan peraturan yang diajarkan oleh mana-mana kuliah penulisan. Ada hukum-hakam penulisan yang melingkari jiwanya. Atau, ada semacam akta yang menyekatnya menulis.

Tetapi, pengarang itu menulis dengan jiwanya, rasionalnya yang tersendiri dan dia terbebas daripada segala hukum-hakam dan akta ciptaan manusia. Contoh untuk fahamkan hal ini, misalnya dalam tugas pengarang ingin membela kebenaran dan keadilan yang dia yakini, adakah dia perlu peduli dengan sekatan yang hadir membalut jiwanya dalam rupa paras akta-akta drakonian?

Sudah pasti pengarang yang benar-benar tulen akan berusaha sedaya upayanya untuk tak pedulikan undang-undang yang menyekatnya daripada terus membela kebenaran yang diyakininya itu.

A Samad Ismail, lewat cerpennya, Ingin Jadi Pujangga (Mastika, Mac 1951) telah menyuluh cerah ke arah suatu lorong gelap berhubung tugas-tugas sebenar seorang pujangga ini.

Mungkin cerpen ini 'wajib' dihadam kepada pengarang muda untuk mendapatkan sedikit gambaran mengenai tugas-tugas sebenar seorang pengarang sejati itu.

Arif cuti hari ini. Dia ingin melanjutkan usahanya mengarang. Sejak dua bulan dahulu dia mulai menulis, sudah tiga buah gubahannya disiarkan dalam majalah mingguan Zaman Baru.
Tetapi Arif belum puas lagi dengan kemajuannya itu. Tiga karangan dalam tempoh dua bulan belum boleh dikatakan satu kemajuan. Edgar Wallace mengarang cerita-ceritanya setiap hari. Tetapi, Arif bukan Edgar Wallace yang mengarang untuk mencari wang memelihara kuda lumba. Arif seorang "pujangga", mengarang untuk rakyat jelata.


.. Edgar Wallace mengarang untuk ringgit � dia meninggal dunia pun di Hollywood khabarnya � Arif sebaliknya mengarang untuk rakyat jelata.

Daripada cerpen ini, arwah Tan Sri A Samad Ismail mula menyusun tafsiran awal bertujuan membezakan antara penulis, pengarang dan akhirnya "pujangga". Kenapa pujangga itu dilihat sebagai tahap tertinggi? Hal itu telah dijelaskan oleh beliau sendiri, iaitu pujangga itu mengarang untuk rakyat jelata.

Tindakan mengarang ini tentunya melibatkan idea, pemikiran kritikal dan radikal, analisa yang kuat dan matang, rujukan muktabar, diyakini dan boleh dipercaya.
Inilah yang membezakan antara menulis dengan mengarang di mana menulis itu mungkin berkaitan dengan kegiatan plagiat, 'copy-paste', meniru, mencedok dan menyadur daripada bahan fikiran orang lain sahaja.

Sebaliknya, mengarang ini suatu tindakan yang cukup berhati-hati, teliti dan kita akan berusaha mendampingi sumber berita dan cerita, akrab dengan alam serta berusaha menyelami permasalahan, menenggelamkan jiwa sendiri dalam ruang masalah itu untuk memahaminya.

Maka, jika mengarang itu satu eksperimen seseorang pengarang menyarungkan jiwanya agar lebih akrab dengan alam, maka pujangga melompat ke tahap yang lebih tinggi; akrab dengan rakyat jelata, mengetahui permasalahan mereka.

Mengetahui selok-belok kehidupan, menggali kesusahan dan kepayahan. Akhir daripada semua proses itu, pengarang pujangga akan memperjuang masalah itu ke tengah khalayak walaupun ada ribuan sekatan ke atasnya yang menghalang mereka menyalin kepahitan rakyat di atas lembarang kertas mereka.

Persoalannya sekarang, dalam realiti hari ini, masih adakah penulis, pengarang yang boleh diangkat sebagai pujangga?

Batasan usia muda

Sementara itu, muda atau belia dalam tulisan ini mungkin merangkumi batasan usia 12-an kepada 20-an. Barangkali usia muda itu boleh menjangkau daripada 20-an, 30-an sehingga 40-an?

Pandangan ini bermula dengan andaian bahawa penulis muda dalam lingkungan usia itu tiada membawa mesej-mesej dan tema perjuangan dalam karya mereka. Tetapi, apakah pandangan seperti ini benar?

Sebenarnya, adalah tidak adil bagi saya untuk membuat suatu rumusan padahal saya masih lagi penulis baru. Oleh itu, saya kembali perkara ini kepada pembaca untuk kita fikirkan bersama-sama.

Tema cinta muda-mudi

Kalau kita melihat gaya kepengarangan penulis muda hari ini memang ada karya yang jauh menyimpang daripada kisah cinta yang suci, kisah cinta yang bersalut perjuangan. Kalau pun ada cinta bersalut perjuangan, jumlahnya sangat kecil.
Dalam bacaan peribadi, sekurang-kurangnya ada dua novel yang memaparkan tema cinta bersulamkan perjuangan. Manakala, perjuangan itu pula mengambil latarbelakang perjuangan kaum mahasiswa di universiti seperti di bawah:-

Arca Berdiri Senja (Baharudin C.D, 1986)
Cinta Hari-Hari Rusuhan (Faisal Tehrani, 2000)
Rice Without Rain (Minfong Ho, 1990) (Dalam proses terjemahan..)

Sebenarnya, kita juga perlu mengupas dengan ikhlas apakah karya pengarang terdahulu hampir kesemuanya bernada perjuangan?

Hikayat Setia Asyik Dengan Masyuknya atau Hikayat Faridah Hanum (ditulis dua jilid pada tahun 1925 dan 1926) hasil karangan Syed Syeikh al-Hadi (1867-1934) dan novel Iakah Salmah karya Ahmad Rashid Talu adalah antara naskhah novel yang bertemakan cinta gelap, perihal kecurangan dan hal-hal di dalam kelambu.

Betapa getirnya keadaan ini sehingga Tan Sri Hajjah Zainon bt Munshi Sulaiman atau Ibu Zain (1903 - 1989) telah menyelar karangan Syed Syeikh al-Hadi sebagai karya tak bermoral, menyumbang ke arah persundalan dan sebagainya. Polemik ini berlangsung dengan agak hangat juga saat itu.

Barangkali juga, hasil titipan karya cerpenis dan novelis pada zaman penjajahan itu lebih banyak memuntahkan desakan mahu merdeka lantaran mereka hidup meronta-ronta dirantai belenggu penjajahan.

Penjajah dan penjajahan sekitar 1940-an, 1950-an di bawah taklukan British dan Jepun itu lebih mudah dilihat dengan mata kasar dibanding penjajahan sekarang yang tidak mudah kelihatan dalam bentuk penyeksaan yang mengazabkan.

Jadi, bukan tiada karya berunsurkan cinta rambang, seks, lucah pada zaman itu. Kalau pun ada, maka karya yang menyeru masyarakat agar bangkit menentang penjajahan itu lebih banyak sehingga menenggelamkan karya-karya picisan itu.

Berbanding zaman senang sekarang, bukanlah tiada langsung karya pengarang muda yang diadun dengan ramuan perjuangan seperti menyanggah penjajahan Zionis misalnya, tapi karya perjuangan itu makin terpinggir hingga kadangkala dianggap hampir tiada karya perjuangan.

Faktor ekonomi penulis barangkali boleh dicatatkan di sini sebagai sebab kenapa pengarang lebih gemar menghasilkan karya yang disukai ramai; cinta, seks, dan lucah. Ini kerana, sajian bahan karya seperti ini disifatkan lebih laku di pasaran di mana hampir keseluruhan pembacanya adalah generasi muda.

Kepengarangan menurut A Samad Ismail

Saya seringkali meletakkan cerpen Ingin Jadi Pujangga sebagai karya asas yang perlu dirujuk sebagai kayu ukur bagi teman-teman pengarang yang cuba mencari arah tuju dan haluan perjuangan seseorang pengarang itu.

Cerpen A Samad Ismail yang tersiar di dalam Mastika, Mac 1951 turut menyebut perihal seruan 'Seni Untuk Masyarakat' dan polemik 'Seni untuk Seni'.

Di sini Arif memperbetulkan dirinya. 'Ya, masyarakat! Mengapa aku selalu menggunakan orang ramai?' fikirnya. 'Masyarakat.. ya, masyarakat lebih tepat, lebih sesuai dengan fikiran baru sekarang! Pun lebih berbau progresif daripada perkataan 'orang-ramai'.

Dan, tidakkah dalam majalah Zaman Baru, sekarang dibincangkan soal 'Seni Untuk Seni' dan 'Seni untuk Masyarakat'? Bagaimanakah aku dapat terhitung dalam golongan Angkatan baru yang berhaluan 'Seni untuk Masyarakat' itu kalau aku masih belum mengadakan pembaharuan dalam menggunakan perkataan-perkataan?'

Di sini, sudah nampak daya penghasilan A Samad Ismail yang cuba membawa pembaca cerpen mengikuti sebuah polemik baru yang tiba-tiba hadir dalam kalangan sasterawan sekitar 1950-an.

Mungkin inilah antara isu, polemik yang segar dibawa oleh Angkatan Sasterawan 1950-an, lebih dikenali sebagai Asas 50.

Dia ingat lagi akan perasaan yang seperti ini timbul beberapa lama dahulu tatkala dia mendengar orang-orang Indonesia berpidato di padang istana Kampung Gelam. Pandai sungguh mereka berpidato. Tetapi, entah pidato mereka yang berapi-api itu yang menimbulkan semangatnya atau kata-kata baru - seperti saudara-saudara, gelora, kancah perjuangan, masyarakat proletar � yang dipakai oleh ahli-ahli pidato itu..
.. Itulah sebabnya kuat keyakinan Arif bahawa jiwanya tidak sama dengan jiwa Edgar Wallace. Dan, semakin dalamlah keyakinannya bahawa dia mempunyai kewajipan besar sebagai pendukung seni untuk membela masyarakat yang rata-rata terlantar dan terdesak hidupnya sekarang.

Watak Arif digambar A Samad Ismail sebagai seorang pengarang muda yang sedang berusaha keras mencari ungkapan kata-kata baru yang difikirkan dapat mempengaruhi khalayak pembaca melakukan pembaharuan.

Seorang pujangga yang bakal menulis berhubung masalah bangsanya mestilah punya mata yang tajam, hati peka dan prihatin terhadap kesusahan manusia. Hal ini digambarkan A Samad Ismail dalam beberapa perenggan lagi.

Seorang pujangga halus fikirannya � tidakkah seni bererti halus? Tinggi cita-citanya, dan tidak sekasar jalan fikiran Yusuf yang berterus-terang.
Mungkin pujangga juga harus bertindak sebagai jurubicara yang mewakili kedua-dua belah pihak. Dia mesti jadi orang tengah, bukan propaganda demikian tulis, A Samad Ismail lagi.

"..Tapi Gorki seorang penghasut kaum buruh, sedang seorang pujangga harus berjiwa halus dan suci, sebab kewajipan pujangga bukan hanya pada satu golongan saja tapi kepada seluruh manusia. Tambahan pula seorang pujangga mengingini ketenteraman dan keamanan masyarakat, mahu manusia jangan berkelahian satu sama lain tapi hidup rukun dan damai.. tidak, saudara belum mengerti jiwa seorang pujangga."

Di sini wujud polemik yang paling penting, adakah pujangga atau pengarang itu, perlu memihak kepada sesebuah puak, hinggakan tulisannya menjadi perkakas propaganda bagi sesetengah pihak misalnya ahli politik tertentu?

Atau, pengarang dan pujangga itu perlu sekadar pengadil, orang tengah, sampai tidak memihak langsung kepada sesuatu yang diyakininya sebagai benar?

Dalam konteks menolak persengketaan antara penjajah dan penjajahan ke atas kaum peribumi misalnya, adakah pujangga itu kekal kepada sikap menjadi orang tengah, enggan menjadi 'propaganda' yang 'menghasut' kaum peribumi berjuang melawan penjajahan misalnya?

Mungkin sikap pengarang dan pujangga itu memang perlu menjadi 'propagandis' atau 'penghasut' rakyat jelata agar segera bangkit melawan penjajah.
Dan, apabila pengarang pujangga bertembung dengan sengketa antara ahli-ahli masyarakatnya sendiri ke atas sesuatu hal, maka pujangga harus tampil dengan rupa paras kebijaksanaan untuk menawarkan penyelesaian 'menang-menang'.
Adakah menentang PPSMI itu propaganda?

Menyentuh isu pengajaran dan pembelajaran Sains & Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) misalnya, kita boleh juga bermuhasabah diri.

Misalnya, adakah sikap Sasterawan Negara Datuk A Samad Said yang menyeru para pengundi dalam ceramah supaya rakyat tidak mengundi Umno (kerana masih mengekalkan PPSMI) itu boleh diangkat sebagai propaganda, sebagai hasutan?

Kalau pendokong Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang mendesak agar PPSMI dimansuhkan mahu dijenamakan sebagai penghasut maka hendaklah mereka ini dianggap sebagai pihak yang menghasut masyarakat supaya membenci dasar pelajaran yang tidak benar.

Ertinya, jika ia dilihat sebagai suatu bentuk propaganda dan hasutan sekali pun, hal itu masih dilihat dalam wilayah, daerah mauduk lain � PERJUANGAN.

Pengarang, pujangga yang mengisytiharkan diri di medan pejuangan atau beliau sedang berjuang menolak penindasan, kezaliman, tidak boleh dianggap sebagai penghasut atau propagandis kerana mereka adalah manusia suci.

Suatu persoalan yang mungkin boleh difikir bersama, adakah pengarang zaman ini khasnya yang masih muda, berusaha mengarahkan penulisannya - menyeru masyarakat sekitarnya untuk bersama menolak dan memansuhkan PPSMI?

Saya masih menyimpan keyakinan bahawa di luar sana memang ramai penulis muda berbakat. Mereka dapat menuai penulisan bermutu dan mampu mencoret karya-karya yang disifatkan sebagai karya perjuangan.

Tetapi, ada kalangan mereka yang selalu terfikirkan tentang ruang berkarya yang sulit memberikan peluang mengarang mengikut citarasa dan selera mereka. Dan akibatnya, mereka cuma menyentuh hal biasa.

Akhirnya, ada yang menulis kisah cinta semata-mata, berkhayal mengenai ruang angkasa untuk menggambarkan kisah fiksyen pada masa hadapan dan lain-lain.
Selain itu, kecenderungan kerajaan terhadap sains dan teknologi barangkali jadi penyebab kepada wujudnya kecenderungan untuk membanyakkan karya sastera dalam bidang tersebut.

Sedangkan, pada awal-awal kelahiran sastera purba, pantun, sajak dan syair itu banyak sekali menyatakan keakraban mereka dengan alam terbentang, sawah, gunung-ganang, nama bukit dan sekali gus meriwayatkan kisah masyarakat.

Anehnya, perjuangan merakyatkan karya sastera sains, teknologi dalam bahasa Melayu ini akhirnya gagal kerana muncul PPSMI yang mengagungkan Inggeris sebagai bahasa yang disifatkan kerajaan sebagai pencetak kepada kemajuan teknologi.

Akhirnya, usaha-usaha menggerakkan sastera Melayu dalam sains, teknologi ini tidak ke mana. Pemerintah tidak membumikan perjuangannya, kelompok penulis pula sukar merakyatkan perjuangannya tanpa sokongan, dokongan penguasa.

Sebenarnya bukan tiada pengarang muda yang ingin berkarya, memutarkan idea perjuangan lewat penulisannya. Pelajar yang mendapat pendidikan aliran agama di Timur Tengah atau dalam Malaysia sendiri adalah antara mereka yang berminat dalam kegiatan sastera-sastera perjuangan ini.

Tetapi, kerap ditemukan halangannya. Sama ada halangan dalaman atau luaran.
Menurut mereka, ruang berkarya dalam aliran perdana tidak memungkinkan idea perjuangan mereka jauh berkembang. Sejauhmana dakwaan ini benar, baik juga kita imbas jalur fikiran salah seorang editor sastera aliran perdana.

'Takut' kepada editor sastera?

Berikut dimuatkan beberapa pendapat seorang penyunting ruangan sastera di dalam Mingguan Malaysia. Beliau menyebut juga beberapa alasan, kenapakah sesetengah karya itu ditolak.

Antara karya politik, pamplet

Oleh: Ku Seman Ku Hussein

SAYA sering ditanya adakah bersetuju bahawa karya seni mesti dipisahkan dengan politik? Ini kerana ada sesetengah penggiat sastera khususnya mendakwa karya mereka bersih kerana tidak menyusupi bau-bauan politik. Dalam pada itu juga ada yang berbangga kononnya mereka berani menulis karya yang berbau politik.

Mereka berbangga kerana mampu menulis sokongan kepada pihak tertentu dan dianggapnya sebuah karya politik. Bagi saya seni itu sendiri adalah politik. Apa lagi kesusasteraan yang memperkatakan tentang manusia dan kehidupannya.

Apabila diajukan pertanyaan demikian, saya hanya memberitahu, Mingguan Malaysia khususnya menerima semua jenis karya cerpen dan puisi. Tetapi sama sekali tidak menerima penulisan pamplet (risalah) politik. Harus membezakan apakah karya itu berunsur politik atau pamplet politik.

Tidak ada salahnya menulis sebuah cerpen yang dibina di atas premis milieu politik. Malah tidak ada kotornya menulis karya begini. Tetapi yang kotornya apabila menulis karya yang menjurus kepartian, menyokong atau membangkang umpama sebuah penulisan pamplet.

Sebenarnya tidak ada karya sastera yang benar-benar terpisah oleh politik. Kerana itu kita menjadi keliru apabila ada yang takut untuk memberi sudut pandangan politik dan ada yang begitu galak menulis pamplet politik.

Pada demam pilihan raya, banyak karya sastera yang dihasilkan tidak ubah seperti pamplet, memperlihatkan pemikiran yang sangat cetek tentang politik. Bagi mereka menyokong atau membelasah parti tertentu sudah bertaraf karya politik. Ini kerana sesetengahnya menulis sokongan yang dangkal terhadap sesuatu pihak.

Sebagai sebuah karya seni, keindahan dan kehalusan mesti wujud dalam karya berkenaan. Kalau menyokong membuta tuli, itu bukan sebuah karya. Pemikiran yang kritis tentang politik mesti digaul dengan kebijaksanaan kreatif.

Biarlah orang politik menyampaikan pamplet mereka tetapi kalangan yang berada dalam kesusasteraan tidak harus terbawa-bawa cara begini. Jangan terlalu cepat bangga kalau menulis sesuatu yang bersangkutan dengan politik kerana tanpa pemikiran kritis, kita hanya menjadi 'pecacai' sahaja kepada pihak tertentu.

Karya-karya sastera pada era memperjuangkan kemerdekaan hampir seluruhnya adalah karya politik. Malah ada kalangan wartawan yang menulis karya kreatif kerana tidak mempunyai ruang untuk menulis rencana politik yang tajam dan keras.

Lesen kreatif digunakan oleh sebahagian besar sasterawan dekad 40-an dan 50-an misalnya untuk membangkitkan kesedaran memperjuangkan kemerdekaan. Semua ini adalah karya politik tetapi penulisnya tidak melaungkan itu sebagai karya politik.

Cerpen dan puisi Sasterawan Negara Usman Awang, Wartawan Negara A. Samad Ismail, Sasterawan Negara A. Samad Said dan banyak lagi penulis era sebelum negara mencapai kemerdekaan menyampaikan pemikiran politik mereka menerusi karya kreatif.

Kerana itu kalangan penulis masa kini perlu memahami antara menyampaikan pemikiran politik dengan menulis sokongan atau bantahan kepada sesuatu pihak. Maka jangan bimbang untuk menulis karya mengenai politik asalkan mereka mempunyai pemikiran kerana berkarya tidak sama dengan menulis pamplet.

Jangan berbangga kerana boleh menyokong atau menghentam sesuatu pihak kerana itu bukanlah penanda aras seorang penulis.

Setakat ini, Ku Seman adalah satu-satunya editor ruangan sastera yang mungkin dapat dinilai bahan fikirannya.

Sama ada pengarang muda mahu bersetuju atau pun tidak bersetuju, maka kita boleh mengadakan suatu ruang lain untuk sama-sama kita mendebatkannya.

Editor sastera mungkin menyimpan ketakutan untuk menyiarkan sesebuah puisi dan cerpen di ruangan yang mereka kawal setiap minggu.

Cerpen Piem karangan Dato� Shahnon Ahmad yang disiarkan di Dewan Sastera, 1993 suatu masa dahulu misalnya, adalah contoh yang membuktikan bahawa di mana seorang editor sastera pun sentiasa terdedah dengan ancaman politik.

Biarpun karya itu cuma dipersembahkan dalam bentuk santai, dihidang, disajikan tanpa menyentuh nama mana-mana pihak, namun ruang untuk editor sastera itu dikenakan hukuman sentiasa wujud.

Selain Piem, cerpen satira Maharaja Beruk oleh Yahya Ismail yang tersiar dalam Dewan Sastera pada 1988 boleh dianggap sebagai contoh yang mencetuskan kerisauan ke atas editor sastera aliran perdana untuk menyiarkan karya satira.

Penyiaran Maharaja Beruk itu menyebabkan Dewan Sastera melonjak jualannya. Namun, gara-gara penyiaran Piem itu pula, menyebabkan editor Dewan Sastera ketika itu, Abdul Ahmad telah ditukar ke bahagian lain.

Rangkaian ketakutan

Maka, lama-kelamaan, akan wujudlah apa yang dinamakan sebagai rangkaian ketakutan. Pertamanya, ancaman-ancaman semacam ini menyebabkan editor sastera takut kepada kuasa parti pemerintah.

Sementara itu, parti penguasa, lantaran ketakutannya ke atas para pengkritiknya dalam kalangan penulis, mereka telah bertindak mengancam editor.

Untuk beberapa tempoh yang lama, editor sastera terpaksa berhati-hati memilih karya-karya, kesan daripada pengalaman teman-teman editor sastera yang lalu.

Semua ini mungkin menyebabkan pengarang muda melihat editor sastera tidak cenderung menyiarkan karya berbentuk satira.

Akhirnya, akan wujud pengarang muda yang cuba menulis mengikut kehendak editor sastera yang khuatir dengan ancaman pihak majikannya yang ditunjangi oleh parti pemerintah.

Dalam perkataan yang lebih mudah, pemimpin takut pengarang, pengarang takut editor, editor takut pemimpin. Inilah yang dimaksudkan sebagai rantai ketakutan. Bagaimanakah kita mahu pecahkan rantai ketakutan ini?

Rantai ketakutan ini perlulah dipecahkan segera supaya kita kembali mencetak golongan pengarang muda yang berani.

Ini perlu, supaya pengarang muda ini dapat kembali menjalankan fungsinya guna membangun, menyusun semula pemikiran masyarakat seperti yang ditulis dalam cerpen A Samad Ismail (Ingin Jadi Pujangga).

Putuskan rantai ketakutan di pihak editor sastera Maka, tulisan ini mengusulkan agar ketakutan dalam kalangan editor itulah yang paling mustahak diputuskan. Inilah kunci terawal untuk melahirkan pengarang-pengarang muda yang berani, memiliki fokus perjuangan yang jelas.

Mungkin, badan penulis seperti Pena dapat menyusun lebih banyak acara yang melibatkan dialog perbincangan dua hala bersama editor sastera akhbar aliran perdana dan kumpulan pengarang muda.

Mungkin daripada sini, barulah kumpulan pengarang muda dapat menyelami apa pendirian, sikap dan beberapa permasalahan yang boleh dirundingkan bersama.
Paling penting, bagaimanakah caranya kumpulan pengarang muda dan editor ini dapat mewujudkan semacam kesepakatan untuk saling bantu-membantu, bahu-membahu dalam urusan merancakkan karya-karya perjuangan yang bermutu.

Misalnya, jika editor sastera dikenakan tindakan oleh pihak atasan dan penguasa akibat penyiaran sesuatu karya kontroversi, apakah badan gabungan pengarang muda ini akan bertindak membela kebajikan editor tersebut?

Hal ini sudah tentulah boleh dijawab sekiranya sudah ada pertemuan dan saling kenal-mengenal sehingga terbangunnya rasa saling percaya di antara kumpulan editor sastera dan saf pengarang muda.

Apabila karya-karya perjuangan semakin laris di aliran perdana, maka secara tak langsung, golongan pengarang yang suka menulis isu-isu picisan mungkin akan terdorong mengarang mengikut rentak yang sama.

Keadaan yang wujud sekarang menunjukkan bahawa editor sastera mengambil langkah sulung berhati-hati sebelum menyiarkan sesuatu puisi dan cerpen.

Apabila keadaan ini berlarutan dalam tempoh lama, maka akan wujud generasi pengarang muda yang berhati-hati pula mengarang agar karyanya tersiar.

Dan, sikap mengarang mengikut 'selera ketakutan' ini membunuh ketajaman fikiran sedikit demi sedikit kerana masyarakat kita gemar membaca bacaan santai.
Generasi ini akan mengarang dengan penuh berhati-hati agar editor meluluskan cerpen dan puisinya untuk disiarkan.

Mungkin sudah sedikit penulis yang akan menimbulkan isu wang faedah PTPTN yang membebankan mereka, sebaliknya bercerita mengenai hal-hal yang sukar mahu ditemukan dengan realiti kehidupan masa kini.

Penutup

Beberapa pendapat yang termuat dalam tulisan ini masih ada ruang kelemahan yang perlu diperkuatkan dalam beberapa siri perbincangan daripada semasa ke semasa. Penulis cuma menitipkan pandangannya berdasarkan kacamata sendiri sebagai pendatang baru.

[Nota: Pandangan peribadi penulis yang termuat dalam kertas kerja yang dibentangkan ini telah mengundang kritikan ruangan Sastera Berita Harian]

RUJUKAN:-
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0413&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm&arc=hive (Antara karya politik, pamplet) / 13/04/2009
A Samad Ismail, Mac 1951. Ingin Jadi Pujangga. Kuala Lumpur: Mastika.
http://dbp.gov.my/lamandbp/main.php?Content=articles&ArticleID=776 (3 penyair dedah sepak terajang dunia sastera)
Penulis muda mulut celupar (http://www.detikdaily.net/v5/modules.php?name=News&file=article&sid=2165)
Kreativiti mampu robohkan 'tembok' (http://www.detikdaily.net/v5/modules.php?name=News&file=article&sid=2366)

11:00 a.m, 19 Julai
Sekolah Pemikiran Kg Baru

-pemikiran sebegini sukar untuk dicetuskan...mungkin perlu pada penghayatan yang mendalam!
Email yang masuk ke dalam inbox begitu
menyentuh kalbu. Mari hayati bersama:

"Siti Syazwani. Happy Birthday! Semoga kamu akan sentiasa dirahmati Nya… All the best in everything you do… Jaga diri & iman baik-baik yea~…
-Amin, UK-"

***********

Aku mencapai telefon mobilku dan membelek-belek SMS ucapan hari lahir yang diterima minggu lepas. Cukup ringkas. Namun, aku masih tertanya-tanya mengapa Amin hanya mengirimkan SMS sahaja kali ini? Jika tidak, tahun-tahun sebelum ini pasti sudah ada kad besar dan bermuzik akan tiba beberapa hari sebelum hari lahir ku. Dah la pakai nombor orang lain, siap tulis nama penuh aku pula tu. Tak pernah pula dia tulis macam ni… Ish, hati mula ragu-ragu. Menyangka sesuatu yang tak baik sedang berlaku.


Adakah dia sudah ….? Argh, tak mungkinlah! Dia dah kata takkan ….

Aku teringat ketika dia pulang bercuti pada musim summer tahun lepas. Namun, sebelum itu aku sudah rasa banyak perubahan berlaku pada dirinya. Dia telah mula banyak memberi nasihat-nasihat baik ketika kami berhubung samada melalui telefon, SMS, email, YM dan juga friendster. Dan ketika itu, aku mendapat cuti seminggu dan telah bercadang untuk turun ke KL dengan kakak melawat saudara-mara, dan sambil-sambil itu bolehlah juga berjumpa dengan si Amin. Setahun sekali tak salah rasanya. Melepas rindu la sedikit. 'Boring' juga kalau asyik berhubung melalui telefon saja. Lagipun Kuantan-KL sekarang boleh travel dalam 3 jam 1/2 dah. Ulang-alik setiap hari pun boleh.

Di KL, aku telah menghubunginya dan cuba mengajak untuk berjumpa. Dia menolak ajakan aku untuk keluar berjalan-jalan daripada pagi sampai ke petang. Dia hanya boleh berjumpa dengan ku seketika sahaja pada petang hari. Walaupun dia beralasan sibuk, tapi aku tahu dia taklah sesibuk mana. Nak tak nak, aku terpaksalah menerima sahaja cadangannya. Asal boleh berjumpa, ia sudah cukup bagi aku. Dan petang itu kami taklah ke mana-mana sangat. Ronda-ronda sahaja dengan kereta Wira kesukaannya itu. Selepas ber-Asar di Masjid Wilayah, Amin membawa aku ke sebuah restoran dan kami makan 'early dinner' di situ. Kemudian, satu detik yang agak 'mengingatkan' bagi aku adalah sewaktu kami dalam perjalanan menghantar pulang aku ke rumah saudaraku…

Dia ada bertanya "Apa beza kita dengan diaorang kat situ tu ye?" Amin menunjuk-nunjuk ke arah beberapa pasang 'couple' yang sedang lepak berdua-duan di tempat-tempat duduk sepanjang sebuah taman. Aku tergamam sekejap. Huh. Agak menduga, tapi 'simple' saja. "Ala, kita ni baik sket. Tak ada pegang-pegang. Tutup aurat elok. Sampai waktu solat, kita solat. Erm… Islamik sket la pendek cerita!."

"Hmm.." Amin hanya mengangguk-angguk.

"Dalam Islam ada ke macam ni?" Amin menduga lagi.

Erk… Semakin terkesima aku dibuatnya. Kali ini aku terus diam terpaku. Aku tahu dia lebih banyak tahu selok-belok masalah benda-benda macam ini. Kalau aku jawab lagi, mesti dia 'counter' lagi. Huh. Diam sahaja lah!

"Erh, abaikan je lah. Saja je saya tanya…" Amin cuba menyedapkan hati.

Tidak lama selepas Amin terbang pulang semula ke UK untuk menyambung sesi pelajarannya yang baru, dia ada menghantar satu email kepada ku untuk menerangkan kedudukan dan tujuan dia bertanya akan hal itu. Aku sudah mula faham sedikit-sebanyak yang aku perlu mengawal hubungan yang masih tidak 'rasmi' ini. Dan sejak daripada itu dia tidak pernah langsung menelefon aku. SMS pula hanya bertanyakan tentang pelajaran sahaja. Itu pun boleh dibilang dengan jari. Namun, aku bersyukur dan gembira kerana dialah yang membuat aku berubah untuk jadi lebih baik dan lebih faham Islam. Jika dulu pakaian aku agak ketat dan singkat, kini sudah banyak yang labuh dan longgar aku beli. Tudungku pun pernah ditegurnya agar melabuhkan ke bawah dada. Dialah yang memperkenalkan padaku apa itu usrah dan dakwah. Dia juga ada berpesan - 'Jaga hubungan dengan Allah tu lagi penting. Insya Allah, kemudian Dia akan jaga hubungan kita.'

Jadi, apakah yang akan berlaku selepas ini? Hatiku masih tak tenteram memikirkan SMS ucapan hari lahir itu. Macam-macam sangkaan buruk bermain-main dalam hati yang mula busuk ini. Aku masih setia menanti kepulangannya. Dan aku yakin dia juga setia pada aku. Aku tak pernah memikirkan lelaki-lelaki lain selain dia. Dan aku yakin dia juga tak pernah nak menggatal dengan perempuan-perempuan lain. Dia taklah seperti kebanyakan lelaki yang 'playboy' pada masa kini.

Ops! Mungkin agak kasar untuk berkata sedemikian.
'Tuuut. Tuuut...' Nada dering SMS berbunyi. Nombor Amin yang terpapar.

"Esok free tak? Boleh kita chatting?"

"Boleh... Saya free je." jawab aku ringkas. Erm, mesti dia saja nak buat 'surprise.' Aku dah agak dah, takkanlah dia hantar SMS saja untuk 'wish birthday' aku. Keyakinan aku mula bertambah. Dia masih sayang padaku.

"Ok.Tq..." balasnya pula.

Keesokannya, aku menanti awal dia online.

'Tuk. Tuk. Tuk..' Amin has signed in.

Oh, tepat sungguh waktunya...

Amin: assalamualaikum wbt.

Wani: wsalam…

Amin: apa khabar? sihat? iman baik?

Wani: alhamdulillah. .. sihat2..=) awak?

Amin: alhamdulilah… baik2 juga… iman selalu turun naik sejak kebelakagn ni… tp takpe, ok je semua

Wani: awak tak balik ke tahun ni? btw, thanks for the bday wish last week...

Amin: welcome… tak balik. byk kerja sket tahun ni… lagi pun saya nak try bekerja… cari duit...

Wani: wah, rajinnya... baguslah!

Amin: hurm...

Amin: study macam mana?

Wani: ok je... new sem ni berat sket.. Jadual pack.

Amin: oic...

Amin: takpe, study rajin2 ye..

Amin: hurm, dah lama nak tanya ni sebenarnya…

Amin: hurm…

Wani: apa dia? tanya la… sila2..

Amin: 1st of all sorry dulu ye… hurm, apa pendapat awak tentang kita sekarang?

Wani: erh… macam awak kata dalam email tu dulu yang kita ni kan ‘kawan’… tak lebih daripada tu… tp, special sket… tiada couple-couple mcm org lain… declare pun tak kan?

Wani: so, statusnya kawan je la…

Amin: hurm…

…..

Wani: erh, tak betul ke?

Amin: hurm.. ni opinion je la - antara lelaki dan perempuan yg bukan mahram, tiada perhubungan yang lebih akrab melainkan hubungan suami isteri shj… yg lain2.. atas alasan aper skali pun ia tak patut diterima..

Aku tergamam seketika. Tertampar keras juga rasanya…

Wani: jadi…

Amin: saya rasa kita harus stop… stop untuk berpisah…

Amin: sbb……

Amin: sbb saya sedar yg semua ini adalah salah dan juga keliru…

Amin: benda ni akan buatkan hati ternodai… zina hati akan banyak berlaku…

Amin: walaupun kita jauh, tak call, tak jumpa dll, tapi hati tetap ber’zina’…

Amin: huh…

Amin: saya bercakap itu dan ini pada org ramai… tapi, dalam masa yang sama saya meyelindungi sesuatu yang tak sepatutnya saya buat…

Amin: kononya Islamik…

Amin: saya rasa cara ni tak betul… kita sbnrnya yang dah menyarungkan benda yg tak baik ni dgn Islam… then, org nampak Islamik…

Amin: saya rasa takde beza pun kita dgn org lain yg duk ber’couple2’ nieh..

Amin: hurm…..

Amin: jadi, saya rasa kita harus berpisah…

Amin: demi menjaga diri…& sama-sama untuk kembali harungi hidup dalam redha Ilahi…

Amin: sorry… sorry byk2 untuk segala apa yang telah kita buat…

Amin: dan sorry juga sbb telah membawa awak ke jalan yang lupa pada-Nya…

Amin: andai ada jodoh, moga dipertemukan…

Astaghfirullahalazi m… Aku beristighfar panjang. Ku kesat peluh di dahi… Air mata jahiliyah ku deras menitis membahasi meja. Sedikit terpercik pada keyboard laptop. Aku tak sangka perkara seperti ini akan terjadi sepantas ini. Ringkas, lembut, berhikmah serta points-nya yang jelas membuat aku tak dapat membantah dan berkata-kata. Sedih, pilu, kecewa, dan sesekali timbul rasa kesal pun ada. Tapi, semua itu tak bermakna lagi…

Aku tak mampu lagi untuk menyambung perbualan tersebut. Ku pasrah dan terima sahaja keputusan yang dibuat oleh Amin itu. Di saat ini, hanya Allah yang bisa mendengar bisikan hati rapuh ini. Dialah juga tempat ku pohon keampunan atas segala kekeliruan yang telah aku timbulkan. Rupanya selama ini aku telah tertipu dengan biskan musuh, mengikut jalan taghut, mencampurkan halal dan haram, serta mengandunkan yang Islam dan al-hawa…

Cinta hakiki hanyalah pada Allah…

Tiba-tiba aku teringat hadis halawatul iman yang pernah dibincangkan oleh naqibah aku tak lama dahulu; pertama-tama sekali mestilah mencintai Allah dan RasulNya lebih daripada makhlukNya, kemudian mencintai seseorang itu hanya kerana Allah dan akhir sekali, mesti benci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana ia benci dicampakkan dirinya ke dalam api neraka. Dengan demikian barulah dapat merasai kemanisan iman itu.

Hanya Allah sahajalah yang layak memberi hidayah kepada sesiapa yang dikhendakiNya. Moga-moga Dia kuatkan dan teguhkan hatiku menghadapi dugaan ini dan moga-moga diringankan beban yang kupikul ini.

Aku terus menjawab ringkas….

Wani: thanks & sorry too… saya terima… Alhamdulillah…

Wani: moga awak bahagia dan sukses selalu di sana. doakan saya juga.

Wani: wassalam.

Signed out

Aku merasakan hubungan tiga tahun yang terbina itu memang salah pada dasarnya. Bagaimana mungkin ia dapat mewujudkan sebuah keluarga yang menjunjung Islam jika asasnya terbina melalui cara al-hawa? Ya, kami memang saling menasihati dan bertazkirah, saling mengejut Qiamulali, saling menghantar SMS ayat-ayat Quran serta hadis, tapi semua itu memang tak betul caranya… Aku sedar yang kami telah mempergunakan Islam untuk mencapai matlamat peribadi… Astaghfirullah. . Syukur pada Mu ya Allah kerana lekas mengembalikan ku pada jalan redha-Mu.

“Sayang… Cepat turun ni. Nurul dah nak sampai.” Ops! Tersedar daripada lamunan kisah 15 tahun lepas itu tatkala mendengar sahutan suamiku, Muhammad Aqil untuk bersiap menyambut tetamu istimewa kami Nurul dan Amin.

“Ya bang, Wani turun…”

Alhamdulillah… Siap semuanya. Aku menutup lid laptopku dan bergegas turun ke bawah. Aku sudah bersedia untuk membentangkan ‘presentation’ kepada beliawan-beliawanis negara mengenai Cinta Remaja dalam program ‘Belia Negara 2057’ esok. Aku sangat bersyukur menjadi siapa diri aku sekarang ini dan aku mengharapkan belia-belia harapan negara dapat kembali kepada cara fitrah yang sebenar dalam menguruskan soal cinta.

Soal cinta sukar untuk diungkapkan.Hanya hati yang penuh keimanan yang dapat melihatnya dengan "cahaya cinta"............
Hari ini aku mulakan sesuatu yang baru. Dengan harapan aku akan meninggalkan yang lama, mencetus sesuatu yang berbeza. Harapannya, akan ada sesuatu yang aku perolehi dengan terciptanya sesuatu yang baru.