BERSEDIAKAH KITA?
JUM, 03 JUN 2011 13:02 | BROHAMZAH |
ISYRAK
Suatu
petang yang hening lagi mendamaikan. Seorang abang dan adiknya berbual-bual
panjang setelah begitu lama tidak bertemu. Maklumlah, kedua-duanya sibuk dengan
pengajian masing-masing.
Dikesempatan
ini mereka berbincang sesuatu yang bernada serius tetapi penuh dengan suasana
harmoni.
"Abang rasakan, mudah
sahaja untuk menjadi seorang suami," kata abangnya.
"Eh, kenapa abang
cakap macam tu?," soal
adiknya sedikit gusar.
"Mudahnya menjadi
suami, jika kita buat persiapan dan persediaan," lanjut abangnya.
"Dan, yang menjadikan
ia sesuatu yang sukar, payah dan membebankan apabila kita tidak bersedia dan
bersiap dari segala perkara," tambah abangnya lagi.
"Ooo.. kalau kita
bersedia memanglah abang, macam kita masuk exam la. Bagi saya bang, sebenarnya
hendak melakukan persiapan dan persediaan itu yang susah. Ramai di kalangan
kita hari ini melangkah ke alam rumah tangga tanpa persediaan dan persiapan
yang rapi," adiknya
berbual panjang mengulas seakan-akan berminat dengan tajuk yang
diperbincangkan.
"Tapi, apa yang
sebenarnya yang perlu kita persiapkan?," persoalan
itu bermain-main di fikiran abangnya.
"Ha'a la, apa yang
penting, segera dan utama?," tambah
adiknya.
Saya
yakin, setiap daripada kita mempunyai hasrat, keinginan dan berhajat untuk
menjadi suami. Suami kepada seorang wanita dan gadis yang bergelar isteri.
Begitu
juga bagi yang wanita – baik puteri-puteri manis, siswi-siswi dan nisa'-nisa'
sekalian – menyimpan impian untuk memegang takhta sebagai seorang permaisuri di
hati seorang insan yang bergelar lelaki. Ya, menjadi seorang isteri kepada
seorang suami.
"Dan,
kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) di kalangan kamu, dan
orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka
miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya
kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha
Mengetahui." [1]
Suami
Menjadi
seorang suami adalah satu amanah, tanggungjawab dan bebanan yang sangat berat
dan sangat-sangat penting. Saya teringat kata-kata seorang doktor perubatan
dalam ceramahnya :
"Jatuh bangun sebuah
keluarga, terletak sepenuhnya di atas pundak (bahu) seorang lelaki, suami dan
ayah!." [2]
Apabila mendengar ungkapan ini, seram sejuk saya dibuatnya.
Beratnya, menjadi seorang suami. Harus mengalas dan memikul amanah yang
tersangat berat. Perlu mendidik,
membimbing dan menunjuk ajar isterinya. Dan, sekiranya dizinkan Allah S.W.T
suami juga akan menjadi ayah yang akan membesarkan, memberi nafkah dan
memberikan pendidikan kepada anak-anaknya.
Sinisnya, ramai yang bersegera ingin menjadi suami dan ingin
secepat yang mungkin untuk melangsungkan perkahwinannya, tetapi ramai yang
tidak pernah terfikir untuk mempersiapkan diri untuk menjadi suami. Suami yang baik, terbaik dan bersiap sedia!
Saya
tiada apa sangat yang ingin dikongsikan, cuma ingin mengajak sama-sama kita
semak dan menilai apakah sebenarnya persiapan untuk menjadi seorang suami. Anda
ingin menjadi suami atau tidak? Jika berhajat, ayuh sama-sama kita lihat dan
semak diri kita. Bersedia atau belum?
3 Perkara Asas
Semasa
bermusafir dengan murabbi saya, saya bertanyakan kepadanya apakah persediaan
dan persiapan yang perlu kita lakukan sebelum melangkah ke alam perkahwinan?
Beliau, memetik panduan yang diberikan oleh Hisyam al- Awadi bahawa kita perlu
bersiapkan kepada 3 perkara asas sebelum mendirikan rumah tangga.[3]
01.Pertamanya, ialah mengenal dan
mendalami ilmu Deen. Kita benar-benar mendalami aspek keagamaan kita meliputi semua
aspek seperti keimanan, ketaqwaan, akhlak, muamalat dan perkara-perkara yang
akan menjadikan kita sebagai seorang muslim muslimah yang sejati.
02.Keduanya, ialah mengenali dan
mengetahui perbezaan antara lelaki dan perempuan.Mengetahui
dengan jelas, siapakah sebenar lelaki dan siapakah sebenarnya perempuan.
Memahami dan mengetahui secara umum mengenai perbezaan antara kedua-dua
psikologinya dan corak kehidupannya.
03.Ketiganya, mengetahui apa itu Baitul Muslim daripada
pelbagai sudut dan aspek. Menuntut banyak buku dan kitab berkaitan baitul
muslim bermula daripada proses pemilihan calon isteri sehingga belajar
bagaimanakah kehidupan baitul muslim yang diredhai oleh Allah S.W.T.
Persiapan, persediaan dan
perapian
Saya
kongsikan beberapa panduan, tips dan ilmu berkaitan hal ini berdasarkan
perkongsian saya bersama mereka yang lebih arif, berilmu, pakar dan
berpengalaman. Semoga Allah merahmati mereka. Insya-Allah.
Bakal-bakal suami harus bersiap sedia, meletakan mind setting dan perlu paksa diri untuk
menjadi suami yang :
01.Mampu menjadi Imam kepada
isteri dan rumahtangganya.
(a)
Pemimpin keluarga iaitu kepada isteri dan anak-anaknya. Ia bertanggungjawab
sepenuhnya terhadap mereka.
Mampu membuat pemilihan
dalam soal kehidupan, mempunyai kemahiran untuk berbincang dan membuat
keputusan dan sanggup berkorban. Eh,
bagaimana hendak belajar ini jika belum berkahwin? Murabbi saya sebut, kita
sudah boleh belajar soal ini dalam kita menjalinkan persaudaraan dan
persahabatan. Di dalamnya, begitu banyak ibrah dan iktibar yang kita boleh
belajar.
(b) Mampu menjadi Imam
solat berjemaah di dalam rumah tangganya. Ini
penting, kerana rumah tangga yang diberkat oleh Allah S.W.T adalah rumah tangga
yang di dalamnya ada nilai-nilai keagamaan antaranya ialah selalu mendirikan
Solat bersama dan berjemaah. Harus selesai dalam soal bacaan al-Quran sebelum
berkahwin. Surah al-Fatihah telah diperdengarkan bacaannya di hadapan
ustaz-ustaz yang berkelayakan dan lulus bacaannya.
Banyak
menghafal al-Quran sebagai pedoman dan kekuatan untuk jiwa dan hati. Semua ini
harus diselesaikan sebelum mendirikan rumah tangga. Anda bagaimana?
(c) Pembimbing isteri
yang bijak, lemah lembut dan bertoleransi. Mendidik
isteri adalah tanggungjawab suami sepenuhnya. Suami perlu tahu secara teori
teknik-teknik mendidik, keseniaannya, kaedah-kaedahnya, cara-cara
perlaksanaannya, menegur dan menasihatinya dengan mencontohi Rasulullah S.A.W.
(d) Seorang lelaki
yang kuat tarbiyah ruhaniyahnya. Ini kerana seorang lelaki
yang akan mengemudi rumah tangga sangat-sangat berhajatkan kepada kekuatan roh
yang tinggi untuk sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan yang akan
menimpanya dalam bentuk ujian dan cabaran. Al-Quran, al-Mathurat, Zikrullah dan
solat sunatnya harus dilakukan secara konsisten.
Hal agama ini juga harus
menjadi perkara asas dan agenda utama kepada kaum lelaki untuk memperdalaminya. Ia ibarat maruah kita. Jangan sehingga satu tahap, kita yang
menolak isteri kita ke depan untuk mengimami solat kita!
Tanya
diri anda, sebelum berkahwin. Adakah aku ini sudah biasa menjadi imam dalam
solat? Perhatikan betul-betul perkataan saya, sudah biasa. Bukannya – pernah
ya.
Saya pernah jadi Imam. Bukan
yang itu, TETAPI saya biasa menjadi Imam.
Ya,
itulah maksud saya. Kita sudah membiasakan diri kita mengimamkan solat
berjemaah dan perkara ini tidak akan berlaku kecuali kita ini adalah mereka
yang mementingkan solat berjemaah, merupakan ahli surau atau masjid dan
sangat-sangat mencintai amal ibadah.
02.Mampu menjadi manager atau
pengurus rumahtangga
Suami harus berkemampuan
mengurus rumah tangga dengan bijak, cermat dan berhemah.
Kemahiran pengurusan harus digilap dan dikembangkan dari semasa ke semasa.
Antara kemahiran yang perlu dipelajari ialah kemahiran pengurusan kewangan,
pengurusan tekanan, pendidikan kejiwaan, kemahiran komunikasi, kemahiran
berbincang, mampu menghadapi konflik, mampu menjaga perhubungan, mengetahui
perundangan institusi kekeluargaan, tahu untuk hidup berkeluarga secara sihat
dan berkemahiran dalam membuat keputusan.
Perkara ini tersangat penting. Saya lihat ramai yang ingin berkahwin,
tetapi gagal dalam soal mempersiapkan diri untuk menjadi pemimpin dan pengurus. Inilah antara kepincangan dan dilemma yang berlaku kepada para
pengantin baru.
Sehinggakan,
ada dikalangan kita (siapa?) begitu kekok untuk mengurus hal-hal yang mudah
seperti membayar bil elektrik, mengurus hal berkaitan urusan kehidupan di
kaunter bank dan sebagainya. Kerana apa? Kerana semasa muda tidak pernah cuba
untuk belajar dan melakukanya. Ayuh, kita ringankan diri menerokai
perkara-perkara ini di awal usia peringkat keremajaan kita. Anda mampu
mengubahnya.
03.Menjadikan rumahtangga
sebagai daya motivasi, pendorong dan kekuatan untuk menggapai kejayaan di dalam
kehidupan.
Hal ini
harus bermula dengan visi serta misi yang ditetapkan secara bersama oleh suami
dan isteri. Perkara ini boleh dibincangkan secara serius apabila berumah tangga
kelak, cuma saya pernah diingatkan oleh seorang murabbi bahawa rumah tangga ini
adalah anak tangga kedua untuk sama-sama mencapai cita-cita pembangunan Islam
dalam kehidupan ini.
Perkara
terpenting juga ialah, mendirikan rumah tangga ini adalah bertujuan untuk
mempertingkatkan keimanan kita kepada Allah S.W.T. Inilah asas yang utama dan
terpenting. Bersama pasangan mengharungi arus kehidupan dengan ketabahan,
kesabaran dan keazaman yang tinggi. InsyaAllah.
04.menjadi suami tidak lengkap
jika tidak melakukan persiapan untuk menjadi seorang bapa atau ayah.
Saya
masih ingat, seorang sahabat saya ketika beliau mula-mula menyatakan hasratnya
untuk berkahwin kepada ayahnya. Lantas ayahnya bertanya :
"Sebelum berkahwin
ini, ayah hendak tanya. Dah habis baca buku Tarbiyatul Aulad ( Pendidikan
anak-anak)?"
Terkedu sahabat saya. Ke situ pula ayahnya bertanya. Kenapa
ayahnya bertanyakan soalan sedemikian? Ia adalah berkaitan persoalan
persediaan, persiapan dan mind setting untuk
melihat bahawa perkahwinan ini bukalah sesuatu yang kecil.
Untuk
yang berhajat berkahwin, kita harus melihat ke hadapan dan berpandangan jauh.
Sekurang-kurangnya, kita melangkah ke alam perkahwinan dengan jiwa yang
bersedia dan sudah mengetahui ujian-ujian dan cabarannya.
Mereka
yang berjiwa besar, akan melakukan persiapan sebelum menempuhi jalan yang akan
dilaluinya kerana mereka sudah mengetahui halangan-halangan di hadapan.
Alah, nanti bila dah kahwin
kita mulakanlah...
Jika ayat
ini yang terpacul keluar dari mulut kita, berwaspadalah. Kita sebenarnya,
adalah seorang yang tidak berhajat untuk benar-benar mendirikan rumahtangga.
Bermain-main dalam soal perkahwinan, bererti kita sudah meruntuhkannya sebelum
berkahwin.
Dalam
soal ini, ramai yang mengesyorkan kepada saya agar banyak membaca buku-buku
yang berkaitan, antaranya :
(1) Buku Pemantapan
Jatidiri Muslim, tulisan ulama muktabar seperti Apa
Ertinya Saya Menganut Islam? Oleh Fathi Yakan, Keperibadian Mukmin oleh Ali
al- Hashimi, Menuju Ketakwaan oleh
Mustafa Masyhur dan banyak lagi.
(2) Perkongsian pengalaman dalam mendirikan rumah tangga boleh
kita kutip dan timba daripada mereka yang lebih arif, berpengalaman dan telah
lama mendirikan rumah tangga. Banyakan sesi perbincangan, sembang-sembang dan
kutiplah rahsia pengalaman mereka. Mungkin kita jadikan ibu bapa kita sebagai
tempat rujuk dalam soal sebegini. Perbincangan yang terbuka sangat diperlukan
bagi memudahkan proses pembelajaran berkaitan pembinaan bahtera rumahtangga.
Buku yang baik, saya cadangan tulisan Ustaz Hasrizal Mohd Jamil, Buku Aku Terima Nikahnya dan
sebagainya.
(3) – Buku yang baik untuk mengetahui perbezaan psikologi antara
lelaki dan wanita tulisan John Gray, Men
Are From Mars, Women Are From Venus. Selain itu boleh
harmonikannya dengan ceramah-ceramah dan tulisan-tulisan yang disampaikan oleh ulama
muktabar yang anda kenali. Insya-Allah
(4)- Buku berkaitan pendidikan anak-anak. Harus baca dan dapatkan
gambaran awal ialahTarbiyatul Aulad oleh Abdullah Nasih Ulwan. Buku yang sangat bagus untuk ditelaahi.
Insya-Allah.
Penutup – Komentar seorang
hamba
(1)-
Persiapan, persediaan dan perapian sebelum melangkah ke alam perkahwinan harus
dilihat secara serius, menyeluruh dan penting. Ini yang utama, persiapannya.
Jika anda telah bersiap, insyaAllah kita akan melangkah dengan langkahan penuh
keyakinan, kebergantungan dan kepasrahan kepada Allah SWT.
(2)- "We get
married, to increase our Iman," : Slogan ini harus
dibumikan. Perkahwinan adalah sebuah perjalanan untuk meningkatkan keimanan dan
ketaqwaan kepada Allah SWT. Kayu ukur yang diletakan dalam sebuah perkahwinan
yang barakah, mawadah dan rahmah.
(3)-
Menjadi suami begitu sukar, jika kita menempuhinya tanpa apa-apa persediaan dan
persiapan. Seharusnya, kita sudah meletakan diri dalam lingkungan bersedia
dengan ilmu, proses pendidikan diri dan berusaha meningkatkan amalan harian
tanpa jemu dan bosan.
(4)- Bagi
saya, menjadi seorang suami itu amat sukar jika kita tidak punyai hasrat, tekad
dan usaha untuk memperbaiki diri dan melakukan perubahan. Bak kata orang,
perkahwinan ini adalah turning point berubah dalam hidup. Ayuh kita lakukan
perubahan dengan berkahwin!
___________________________
[1] Surah An Nur (24)
: 32
[2] Dr Hafidzah Haji Mustakim, Klinik
Perdana Cawangan Islah, Kursus Pra Perkahwinan Balai Islam Lundang, 21-22
Disember 2010
[3] Abu Munzir, Musafir Tarbawi Utara, 1
Oktober 2010
BEGITU JUGA UNTUK MENJADI SEORANG ISTERI~Bukan mudah…jiwa
harus tabah..minda harus cerah……