Hari ini aku mahu kongsi sesuatu. Kata orang, orang yang tak suka berkongsi itu orang kedekut dan aku tidak mahu menjadi orang seperti itu. Kedekut bukan sifat yang baik. Semua orang tahu itu. Kenapa tajuk di atas adalah leader of learner? Sebabnya apa yang ingin dibicarakan di sini ialah mengenai pemimpin tetapi pemimpin kepada pelajar dan pemimpin kepada pelajar itu boleh di katakan sesiapa sahaja yang memimpin dan pada masa yang sama dia adalah pelajar. Kalau anda pernah menjadi pengawas, maka anda adalah pemimpin, jika anda pernah menjadi ketua kelas, maka anda adalah pemimpin, jika anda pernah menjadi ketua kumpulan untuk membuat ‘assignment’ maka anda juga adalah pemimpin. Tapi apa yang saya ingin bicarakan di sini bukan setakat pemimpin yang itu, saya ingin bicarakan pemimpin yang pada masa yang sama mampu untuk mengisi kekosongan dalam dirinya, bak kata orang boleh mencapai potensi yang maksimum.
Pernah suatu ketika, jika di tanyakan kenapa kamu bersungguh dalam soal kepimpinan ini, biarlah sahaja, biarkan apa yang akan berlaku, tunggu dan lihat, duduk-duk sambil goyang kaki dan minum teh, kemudian dengar sahaja khabar gembira. Bahawa kepimpinan itu telah pun terbina. Bagaimana mungkin? Mungkin kita tidak akan mampu menterjemahkan apa yang diperlukan pada pemimpin secara total, apatah lagi sememangnya setiap orang ada kekurangan. Pemimpin itu perlukan orang besar. Apa pula orang besar? Adakah dengan berbadan gempal orang itu dikatakan orang besar? Atau orang yang berduit dan mempunyai jongkong emas itu yang dikatakan orang besar? Orang besar itu ialah orang yang punyai jiwa besar. Cita-citanya besar dan tidak pula goyah apabila memegang suatu prinsip yang dipegang apabila benar-benar memahami apa yang dipegangnya itu.
Namun, apa pun yang kita cari tetap tidak lari dengan keilmuan dan pendekatan pada Allah. Hanya itu, jika tidak segala-galanya akan jadi hancur dan bobrok. Mana mungkin seorang penagih dadah boleh memimpin dengan baik sedangkan sifat ketagihannya itu sudah pasti sesuatu yang mengganggu aspek kesihatan dan juga telah melanggar apa yang disyariatkan. Oleh itu, yang kita cari dalam kepimpinan adalah yang berilmu. Itu sudah pasti, tapi mungkin juga masih abstrak di sini. Ilmu yang bagaimana, ilmu ini adalah ilmu yang boleh membimbing dirinya dan juga orang lain. Kalaupun dia kurang ilmu tapi sifat dan sikapnya untuk mendalami ilmu harus ada.
Selain berilmu, yang kedua adalah berakhlak ataupun bermoral. Mana mungkin kita memilih orang yang suka ke disko untuk jadi pemimpin, kerana perbuatan itu merupakan sesuatu yang tidak bermoral. Akhlak ini dilihat sebagai luas, sifat dan sikap yang baik menunjukkan seseorang itu berakhlak mulia. Akhlak itu akan membawa kepada sikap bertanggungjawab, berintegriti, telus, amanah dan sebagainya. Ya, agak susah mencapai semua ini tapi tidak mustahil.
Kita pernah mendengar bahawa apa yang dibawa oleh pemimpin itu akan mencorakkan generasi atau mungkin kelompok yang dipimpinnya. Jika dia mengetuai pasukan bola sepak misalnya, arahan dan strategi yang dicatur kan akan mempengaruhi faktor kekalahan atau kemenangan pasukannya. Itu suatu yang perlu kita akui.
Bukan senang menjadi pemimpin dan bukan juga senang mencari dan memilih pemimpin. Sangat susah dan sebab itulah kadang-kadang ramai yang mengatakan aku tidak mahu berpolitik. Statement ini yang biasa kita dengar lantaran susahnya untuk berhadapan dengan situasi ini. Apa pun kita kembali kepada sirah Rasulullah. Adakah dengan begitu sahaja Nabi dapat mengembangkan Islam atau berlaku pelbagai peperangan dalam pelbagai situasi. Tapi kita perlu ingat, sekarang ini zamannya kita punyai pilihan untuk memilih secara demokrasi, telus dan adil. Dan kita harus memilih cara itu supaya tiada yang tertindas malahan apa yang ingin dibawa itu kita sampaikan sejelas-jelasnya.
Rasanya sekadar itu dulu, aku sebenarnya berfikir untuk menulis sesuatu yang lain dari biasa tetapi setelah ku ulang baca ia sebenarnya adalah perkara biasa sahaja. Tapi perkara biasa ini mungkin tidak biasa lagi pada orang-orang yang tidak biasa dan mungkin sudah biasa pada orang-orang yang sudah biasa. Sekurang-kurangnya aku cuba untuk berkongsi biarpun pembaca mahu menolaknya aku tidak kisah tapi sebelum menolak sesuatu pastikan kita punya hujah yang kukuh untuk menolaknya dan juga punyai hujah juga untuk menerimanya. Akhirnya, aku suka pada satu ayat ataupun trademark “UNGGUL MEMIMPIN GENERASI”. Bukan hanya sekarang tapi seharusnya sampai bila-bila kita harus unggul dalam memimpin generasi.
Kalau dulu aku belajar di sekolah, aku hanya menerima apa sahaja yang diberi oleh guru, menelan bulat-bulat, mengunyah dan meratah namun kini aku harus menerima hakikat bahawa tidak semua yang orang beri adalah betul, harus periksa sama ada yang datang pada ku itu benar atau salah atau mungkin juga boleh dipegang apabila benar-benar terbukti kesahihannya. Aku kini ingin menjadi seorang leader, pemimpin untuk diri sendiri yang lebih utama. Doakan aku, dapat mencapai sesuatu dalam hidup ku, agar bermanfaat untuk orang-orang sekitar ku. Kalaupun aku ini tidak bermanfaat aku harapkan tidaklah pula aku ini mendatangkan mudarat atau kesusahan pada orang lain. Maafkan aku anda tulisan ini hanya datang tanpa membawa pelbagai hujah yang lebih konkrit namun aku hanya tulis supaya kita meneliti dan mencari yang selebihnya. Maafkan kesalahan ku jika ada.
“Ya Allah, andai ENGKAU takdirkan sesuatu pada kami maka takdirkanlah sesuatu yang terbaik pada pengetahuan MU kerana itu jualah yang terbaik untuk kami”- Ameen ya Rabbal Alamin.
0 komentar:
Catat Ulasan