Sekadar gambar hiasan

Alhamdulillah….

Kian hampir menjelangnya hari untuk pulang. Serasa sudah lama tidak pulang, tidak menatap wajah adik-adik kesayangan. Merakalah buah hati pengarang jantung. Usai saja pulang untuk sehari semalam, terus saja berangkat lagi. Destinasi yang menjadi pilihan adalah Kuantan, Pahang. Memikirkan mengenai tempoh 2 bulan disana, agak lama sebenarnya, mudah-mudahan dipermudahkan segalanya.

Sekejap sungguh waktu tak tersedar sudah melaluinya. Walaupun hanya sedikit saja serasa ilmu didada namun insyaALLAH pengalaman yang ada berguna buat selamanya. Mengenang memori terutamanya berada di bumi nilam adalah suatu yang berharga. Tempat mana lagikah yang serupa itu? Bumi manakah lagi yang seindah itu? Mungkin ada, dan di sini telah jua menjadi singgahan bermakna buat diri ini. Belajar mengenali diri, belajar mengenali erti sebenarnya menjadi pelajar dan sebagainya disini. Rindu untuk bertamu di Ja’afar Rawas, antara gedung buku yang dikira banyak menempatkan mutiara ilmu.

Menjejak pula ke bumi Kuala Lumpur. Dengan sedikit kekuatan digagahkan kaki untuk meneruskan perjuangan ini. Walaupun serasa lucu pula bila dikenang kembali. Pernah, berhajat untuk bertukar bidang, bertukar tempat pengajian malah ingin memilih profesion yang tidak diminati. Semuanya berlaku dalam sekejap cuma. Mungkin pertimbangan pada waktu itu adalah antara dua. Nasib keluarga dan nasib sendiri. Alhamdulillah, rasa syukur itu akan tetap bersemadi di jiwa, InsyaAllah. Syukur kerana dengan bantuan biasiswa dapat jua meneruskan hajat. Benarlah, rezki dari Allah, tidak terduga diakal hambaNYA.

Menyorot pengalaman hanya secebis. Banyak lagi yang tidak tergapai. Banyak jua yang terlepas di pandangan. Semoga yang sedikit ini bisa berkembang lagi dan lagi. Ketika di Kuala Lumpur inilah serasa barulah menghayati nikmatnya hidup bersendikan ajaran Islam. Melihat suasana dan situasi pelbagai, gerun mencetus rasa. Bagaimanalah nasib generasi mendatang jika generasi kini begini rupanya. Bagaimana agaknya orang-orang yang akan meneruskan perjalanan dan kembaranya dibumi Tuhan andai jenuh dikelilingi manusia yang buruk akhlaknya.

Dan kini, masa jauh meninggalkan kenangan yang terpahat dimemori. Jauh jua menjadi simpanan yang insyaAllah berguna di kemudian hari. Sakit, sihat bersilih ganti. Menjadi asam insan diuji. Sebenarnya tidak tahu mencoret apa. Asalnya hanya mahu meluah rasa, meluah segala yang tercanang di minda.

Siapa kita selepas ini?

Biar siapapun kita, semoga kita akan terus menjadi hambaNYA yang berpegang teguh pada agamaNYA. Biar saja orang tidak menegenali kita asalkan kita ada tempat disisiNYA. Dan semoga segala panduan dan ilmu bermasyarakat sebelum ini akan dapat digunakan sebaiknya. Kita adalah pengembara, sampai saatnya akan sampai jua ke destinasinya.

Semoga dengan adanya secebis kecekalan menjadi penguat tatkala badai menimpa, menjadi tempat berpaut tatkala diuji segala rencam dunia. Asal saja tempat bergantung harap sepenuhnya iaitu pada ALLAH tidak dilupa. Tiada kata-kata indah bahkan tiada pesanan azimat dapat diberi hanyalah sepotong doa agar kita sama-sama teguh di dalam hidup ini bersendikan syariat berpangkalkan agama. Salam terus juang buatmu para pemuda pemudi harapan agama, bangsa dan Negara.

Salam penuh takzim dari bintulyamin As- Solehah.

0 komentar:

Catat Ulasan