~Memaknakan hari dengan memberi makna~

Suatu masa dahulu, tentu saja kita punyai cita-cita sendiri. Kita punyai minat dan bakat dalam bidang tertentu dan kita dianugerahi suatu yang menjadi kebanggaan dan keunikan pada diri. Lantas, kita menjadi dan membentuk diri kita ke a rah itu. Meniti hari rupanya tidak seperti yang kita angan-angankan. Kerana benar hidup ini terkadang payah dan kita perlu ada kekuatan untuk menghadapinya.

Apapun, secebis pengalaman, peluang dan ruang yang tersedia di hadapan perlu digunakan sebaiknya. Kerana ianya tidak datang berkali-kali malah mungkin hanya sekali sahaja. Oleh itu, biar apapun cubaan dan dugaan moga terus kuat menghadapinya.

Apabila telah habis belajar, mungkin kita terfikir kita sudah ada ilmu yang cukup. Namun tidak semudah itu. Semakin tinggi kita menuntut ilmu, semakin rendah rasanya diri. Semakin banyak yang kita tidak tahu, semakin banyak khazanah yang perlu diterokai. Menggapai ilmu tentunya perlukan keikhlasan supaya ilmu yang diperolehi akan diberkati.

Menyusun sebuah perjalanan jua bukannya tugas mudah, menentukan hala tuju hidup dan membuat pilihan jua perkara yang menyesakkan dada. Moga Allah memberikan kita semua kemudahan, kelapangan dan memudahkan perjalanan kita di kemuadian hari. Meniti hari menuju Ilahi agar apa yang kita jalani ini tidak sia-sia.

Secebis pengalaman berkerja secara Part Time di Galeri Hidayah membuatkan diri lebih mencerna bahawa harus ada kekuatan beragama dalam setiap perkara. Hati harus kuat, jiwa harus tabah, jangan cepat melatah dan terkadang usah pedulikan kritikan dan apa jua kata-kata yang mahu menghina malahan mahu menjatuhkan kita ke dalam lembah kehinaan. Betapapun kita diuji, harus kembali kepada Allah kerana Allah jualah tempat berserah segala sesuatu.

Selepas ini perancangan harus dijitukan. Pengalaman berguna selama ini jangan dipersiakan. Hidup perlu tabah kerana ketabahan sahajalah yang membawa kita lebih teguh. Menggapai impian jua harus selari dengan perencanaan dan perlaksanaan agar impian harus jadi kenyataan dan bukannya angan kosong tanpa arah dan tujuan.


Moga Allah kuatkan kaki dalam melangkah, diteguhkan hati dalam menempuh badai, dikuatkan azam dalam mencapai tekad dan yang paling penting dijaga iman yang berada di dalam dada agar teguh dan sentiasa kuat sepanjang meniti hari menuju Ilahi. Biar apapun yang berlaku, kembali kepada Allah adalah yang paling penting~ Salam Wisuda, 7 Ogos 2010~


~Harus sentiasa kuat kerna kita mengerti bahwa kita yang lemah itu~

RINTIHAN HATI IBU

Anakku,

Dengarkanlah rintihan dan luahan hati ibu,

Agar tidak tersisa dan terbekas lagi,

Ibu mahu anak yang ibu kandung dan susui ini,

Bisa menjejak kaki ke syurga nan indah,

Namun, untuk sampai ke sana,

Maka perhatikanlah apa yang ibu perkatakan,

Agar bisa menjadi teladan buat semua yang bergelar anak.

Anakku,

Masihkah terpahat di memorimu,

Tika kecil bagaimana ibu memperlakukanmu?

Ibu dengan penuh kasih-sayang membelaimu,

Menjagamu malahan memberikan semua keperluanmu,

Bukan ibu mahu mengungkit,

Apatah lagi ibu mahu kamu mengagungkan ibu,

Ibu hanya mahu kamu sedar bahawa ibu tidak pernah meninggalkanmu waktu itu,

Maksud ibu, sentiasa dekat pada diri dan hatimu,

Hingga kamu meningkat dewasa,

Kamu menjadi orang berjaya,

Kamu mengenal segala-gala,

Maka perhatikanlah kelakuanmu pada ibu,

Ibu sedar, ibu semakin menginjak usia,

Ibu terkadang lupa banyak perkara,

Ibu sudah semakin tidak kuat dan merasa begitu lemah,

Dan kamu, sudah punya keluarga sendiri,

Ibu sudah punyai cucu-cucu yang comel,

Ibu bangga punyai anak sepertimu,

Tapi kenapa kamu?

Setelah mendapatkan segala yang kamu mahu,

Kamu seolah-olah melupakan ibu,

Ibu dipinggirkan,

Segala kata-kata ibu tidak kau dengarkan,

Ibu sudah kau anggap seperti sampah,

Ibu terkadang disakiti dengan kata-kata yang keluar dari mulutmu,

Kau kata Ibu sentiasa mahu itu mahu ini,

Ibu menyekat kamu hingga keluargamu susah kerana ibu,

Ibu itu dan macam-macam lagi,

Kau lupa anakku,

Kau lupa bahwa redha Allah itu adalah jua dengan keredhaan kedua ibu bapa,

Redha ibu yang terpenting,

Hinggakan wajibnya menjawab panggilan ibu melebihi panggilan seorang ayah,

Jadikanlah tempat ibu di tempat yang selayaknya,

Ibu tidak meminta berlebihan,

Cukuplah sekadar membalas kasih ibu sebagaimana ibu mengasihimu….

~Cinta Ibu itu membawa hati menjadi berani dan seteguh karang di laut~

~Memaknakan hari dengan memberi makna~

~Teruskan melangkah

~Perlu sentiasa kuat

~Ku cari hikmah dalam setiap perjalanan hariku~

=Biiznillah=
Bismillahirrahmanirrahim......

Dua bulan bakal menutup lipatan memorinya..tinggal hari yang dapat dibilang dengan jari saja... Syukur,,hanya perkataan itu yang sesuai untuk menjelaskan betapa bertuahnya seorang aku, mendapatkan ilmu dari lapangan yang sering tak terduga. Alhamdulillah.....

Di sini juga ke temui sahabat yang tidak pernah lelah dalam menghulurkan senyum tawa tika bersama duka dan ceria. Rupanya mendapatkan ramai kenalan adalah suatu yang sangat bernilai... seperti anjuran Nabi kita agar mengikat silaturrahim..

Dan terakhir....tiada kata yang terlafaz, tiada ungkapan dapat menyimpulkan dan jua tiada rangkap puisi bisa mengungkap semuanya...apa yang bisa diungkap adalah ALHAMDULILLAH..

Kenangan di sini;

~Makmal~




Pantai yang mendamaikan

Lanskap yang menjadi tatapan sehari-hari

~Yang jauh adalah masa lalu, yang dekat adalah masa depan~

Alkisah sebuah ceritera tentang hidupnya yang bergelar ayah. Menanggung beban dan derita tanpa pernah mengeluh walau sesaat. Dialah ayah, dialah wira dan jika boleh dikatakan dialah juga idola. Ayah yang menjadi penaung pada keluarganya yang menumpang kasih. Ayah yang menjadi tulang belakang buat isteri yang telah banyak menderita. Kasihnya ayah tiada tepiannya.

Ayah tidak pernah mengharap suatu pun balasan. Biar keringat membasahi janggut dan ubannya namun lelahnya sering disembunyikan. Bahkan tawa juga yang menggegar seisi rumah. Ayah bisa menghantarkan secebis kebahagiaan dan ketenangan biarpun disaat semuanya berantakan, di saat semua masih lagi kecil untuk membezakan itu dan ini. Cerianya seorang ayah, gembiranya seorang ayah hingga rumah itu seakan tiada masalah olehnya, rumah itu menjadi satu tempat yang paling bahagia dalam hidup seisi rumahnya.

Keluarganya keluarga besar. Adakala baik, dan adakalanya dilanda ribut taufan jua. Namun, ayah tetap sabar, hati ayah sungguh tabah dan teguh. Kisah ayah boleh menjadi satu novel, boleh juga dibuat skrip filem,namun kasih ayah tiada galang gantinya. Sebuah rumah atas nama kasih sayang telah ayah dirikan. Sebuah rumah atas nama perlindungan telah ayah ukir dengan tangan ayah sendiri.

Sewaktu anaknya masih bersekolah, ayah semakin kuat mencari rezeki. Ayah sering membangkitkan semangat agar kuat belajar . Ayah juga memahami kerenah anaknya yang masih belum matang dan mampu menanggapi hidup. Sungguh pengalaman ayah luas menjadikan akalnya cepat menanggapi sesuatu masalah yang mendatang. Hingga segala yang berat bagi orang lain, terasa ringan dibahu ayah. Kini anak itu bakal bergelar seseorang dengan jasa ayah yang tak terbalas.

Kini, Kisah ayah telah terhenti. Namun, seorang ayah itu ada pewarisnya. Lihat saja telatah dan sikap anaknya yang mirip ayah sekalipun masih kecil. Begitupun, ayah sempat meninggalkan pesan, agar diri menjadi berguna, agar pandai menjaga diri. Agar diri bisa berbakti.

“ Jaga adik-adikmu”. Itulah pesan ayah, kata-kata keramat dan azimat yang masih terngiang di telinga. Tiada lagi kata-kata selain itu. Itulah wasiat yang ayah tinggalkan.

Masih terbayang diruang mata senyum tawa ayah. Masih lagi teringat apa yang ayah selalu bawa untuk keluarganya. Namun, kasih ayah tidak pernah terhenti. Biarpun ayah pernah menuliskan ini, “ Bagai embun dihujung rumput, terbit mentari hilanglah ia”, namun ayah takkan pernah hilang dari jiwa anaknya. Kasih ayah takkan pernah terhenti biarpun kisah ayah telah lama berhenti.

~Pesanan ayah sentiasa diruang fikiran-always in heart-~



PANTAI BATU HITAM

Bismillahirrahmanirrahim…..

Tinggal tiga minggu saja lagi latihan di sini akan melabuhkan tirainya. Sungguh, pengalaman yang didapati tidak dapat dipelajari dan diperolehi di tempat lain melainkan ditempat kita menjalani praktikal itu sendiri. Terima kasih sahabatku sayang, Nor Syafawati Junaidi dan Nor Syazana Sufian kerana menemani hari-hariku disini dengan keceriaan dan keikhlasan. Begitu juga buat Tan Geok Mui dan Saufi yang seangkatan dari tempat belajar yang sama.

Jika sebelum ini, ada diceritakan mengenai makmal-makmal seperti saitologi dan histopatologi maka sejak melepasi makmal molecular yang menguruskan kes-kes H1N1 maka telah berlalu beberapa makmal seperti biokimia, serologi dan hormone. Masih belum dijejaki adalah makmal parasitologi, hematologi dan mikrobiologi dan habislah praktikal di sini. Sebelum itu, masih ada “presentation” yang menanti.

Di sini, terdapat CME (continous medical education) setiap pagi pada hari rabu. Berduyun-duyun tidak kira doktor, jururawat dan sesiapa saja mendengarnya. Sempat mendengar dua topik terdahulu berkaitan HPV dan hidroterapi. Sungguh menyeronokkan. Belajar benda baru. Ada juga ceramah berkaitan sihir yang dihadiri.

Dan yang terakhir adalah pengalaman jatuh daripada motor. Baru saja berlaku. Entah macam mana bila nak buat u-turn tetiba terseret dan jatuh. Saat ini seperti tak sedar yang motor itu berat dan besar, boleh pula diangkat tanpa bentuan oang lain. Alhamdulillah. Semoga ini merupakan kaffarah. Masih bersisa sakitnya dan masih ada kesan calarnya. Syukur jua, boleh meneruskan hari-hari dan diberi nafas sehingga kini.

Akhirnya, ku doakan kesejahteraan saudara seislam di Palestin dan di mana jua. Kebatilan akan hapus dari bumi ini. Yakin dan percaya dengan janji Allah. Ya Allah, kuatkan dan thabatkan diriku, lorongkan diriku dalam mencapai redhaMU, cerahkan hati dan jiwaku menghadapi hari-hariku menujuMU…amin....


Masa pergi jua
meniti dan meninggalkan
kini berteman sendiri
Sudah tinggal kenangan bersemi

Ku larikan sebuah tekad
bersama azam nan jitu
masih lagi keras membatu
kerana tidak pernah ku lupa

pada janji yang telah dipatri
pada lafaz yang ku ungkap bersaksi
dan kini ku berlari mengejar waktu
mencari pelangi di awanan

Ku pasrah pada yang bernama takdir
kerna ia telah tersurat
namun begitu
masih jua ku terus berharap pada
secarik mimpi...

~nukilan tinta pencari damai di hati~
Ku tulis semua ini setelah diri menginjak lagi usia, tahun berubah dan bulan berganti. Menjadi dewasa adalah keinginan sesiapa yang mahu matang, mahu memiliki tanggungjawab dan juga mahu menjadi lain daripada usia sebelumnya. Dan kini...perkataan itu semakin hampir walaupun baru di permulaan.

Bukan niat mahu memberikan sesuatu hanya ingin berkongsi bicara yang kian kontang akibat kemarau berpanjangan. Yang kini hampir hilang daya untuk mencerna, yang kini semakin gesah untuk terus berfikir itu dan ini. Namun, itulah hakikat kedewasaan, pasti ditempuh bagi yang ada peluang dan ruang. Akan menjadi cabaran bagi yang mengambilnya sebagai ujian dan akan menjadi halangan bagi sesiapa yang merasakan itulah batu penghalang kehidupan.

Meniti kedewasaan perlu sesuai dengan kematangan diri. Kemudian, perlu juga menjadi yang lain daripada yang kita fikirkan. Merubah kebiasaan andainya kebiasaan itulah yang menjadi penyebab kepada kegagalan sebelumnya dan menjadi semakin ke hadapan. Yang pastinya cara berfikir, cara bertindak dan cara mengawal keadaan adalah harus seperti dewasa.

Mari sama-sama kita menuju kedewasaan agar kedewasaan ini membentuk diri menjadi sesuatu. Agar kita bebas dari melakukan kesalahan orang-orang dewasa tedahulu dan agar kita mengambil pengajaran untuk meneruskan baki penghidupan yang sementara ini.

Ku tinggalkan ruangan ini dengan sedikit pesanan, mungkin buat diri juga;

"Biarkan harapan berlalu pergi, biarkan kenangan merantai memori, biarkan hati menjadi sepi kerna tidak semua yang kita inginkan akan kita dapati."

"Segala yang berlaku, biiznillah"

Praktikal di HTAA

Firstly, minggu ini agak pack kerana kena pergi kerja 8.00 pagi dan pulang 5.00 petang. Tapi inilah realitinya bila dah kerja macam ni. Kali ni nak cerita sempoi2 jer..so sesape nk baca tu baca dengan gaya yang sempoi ataupun boleh close this page. Nak cerita pengalaman yang didapati memang la tak terkira. Dah duduk seminggu ni barulah cuba untuk mengerti apa sebenarnya yang berlaku di hospital.Sebelum ni memang la ada jugak g hospital tapi bukan untuk g kerja ataupun untuk belajar tapi pegi melawat orang sakit, melawat orang bersalin dan juga melihat sedara mara yang duk kat spital. Sekarang, beza la coz pegi praktikal maksudnya nak belajar n aplikasi sekaligus. So… berbeza banyak.

First week ni kena belajar kat lab cytology n histopathology… kaji sel dan tisu yang ada macam-macam penyakit..huhu…real sekali. Ye la apa tidaknya tengok MO dan Dr bedah siasat pon dah kira ngeri…tengok p.cik kena cucuk jarum pon dah rasa kesian…memang la…sebab tu kot memang tak boleh jadi dr… semangat tak kuat..huhu.. apapun kat cni jumpa orang lain yang praktikal juga. Mereka ada yang dari PTPL dan IMR. Masing-masing lama praktikal di sini..dah hampir setahun dan dah nak habis pon. Kebanyakannya buat diploma dalam MLT (medical laboratory technologist)…memang lepas ni terus involve dengan kije2 lab ni. Tapi kami ni yang amik Biohealth..tak semestinya tapi boleh je apply pegawai sc bagi sesapa yang berminat la…klu tak minat cari ler kije lain yang boleh di buat..cg ke..pensyarah ke(kena ada master n PHD la dulu), nak involve dalam institusi penyelidikan pon bole… ikut suka la.

But before that, pengalaman tu memang penting. Apa tidaknya, kemahiran tu penting. Ye la, tanpa tu semua tak guna juga ilmu yang ada atas kertas tu…kena la practice. Apapun ni baru nak cerita pasal kawan-kawan. Belum lagi cerita pasal apa yang dibuat di lab… Kawan-kawan baru dari IMR(Shazana Ismail(kawan pd wee), k. dayah, tiqah dan sri)..dari PTPL plak (Yana, Atun, Zila dan Yaya)..Mereka ni baik2.. Sudi untuk ajar macam2..Maklumlah masa untuk duk kat dua-dua lab ni sangat singkat.. 2 hari untuk satu lab… tak sempat nak mengenali secara mendalam semuanya..tapi tak per… nak belajar ni tak kira dalam apa cara dan bentuk apa sekalipon..dapat peluang masuk tu pon dah kira ok dan sangat seronok.

Staf2 pon baik2… Kt Cyto( En Hairul, K.dok, k.ita, k.no, en afi) kat hiso plak( en sinnapa, kak aziah, k.ija, k.lim, k.mun, en razi) . Mereka ni mungkin sbuk so agak tak dapat la nak berborak lama2..tp baik semuanya..thanks ye..terima diri ni kat lab ni..Lepas ni kat Lab Molekular plak… dekat dengan bilik K.mas(our supervisor for Industrial training ni). Okey lah nak critenye apa yang dibuat kat Lab Cyto, ialah buat FNAC. Apa tu FNAC? Kaedah pengambilah/sedutan tisu atau sel guna sedutan jarum halus.. kenapa kena buat? Banyak kebaikannya..antaranya ialah elakkan pembedahan, kesakitan dan kesilapan dalam menentukan penyakit yang ada pada pesakit. Selain tu keputusan ujian juga adalah segera. Nak uji apa dengan FNAC ni… Biasanya yang datang ninak check samada ada kenser payudara or x…atau pun lain2 yang berkaitan dengan bahagian tengkok, dan macam2 lagi la. Huhu..penat plak nak taip semua..So semua dah tahu apa itu FNAC.. so kita beralih pada perkara lain plak..Maklumla 2 hari memang la banyak nak kena kejar..Perkara yang lain yang kena buat adalah labeling, filing, recording dan juga screening. Huh.. benda ni klu buat sorang2 penat juga tapi bila ramai2 cepat je siapnya.

Then buat staining, mounting memang la wajib..klu tak macam mana nak kaji slide.. Biasanya MLT ni akan tengok slide yang dari PAP SMEAR jer..nak tahu kehadiran fungal or others at cervics. Nak tahu ada kanser serviks or not… yang lain tu datangnya sample fluid2(bendalir) dari wad..yang tu dr atau pakar yang akan tengok. Kat lab ni hanya sempat buat (tengok FNAC, labeling, filing, mounting, amik specimen, buat cell block (guna plasma thrombin)-best jugak dapat buat sendiri, huhu…then yang lain2 tu tengok slide tapi dalam 2-3 je ..sebab tak sempat dah..nak kena tukar lab dah… Best jugak dengar citer dari k.yana yang duduk blood bank dan k.no yang duduk cerology n parasitology….Lepas ni masuk lab molecular memang kna hati2 la….Sebab kat sini run Real time PCR…hmmm….tkut kena jangkitan H1N1..moga jauh dari smua tu…

Hah..best tak baca…jom kita beralih pada lab histopathology plak cam mana.. Lab ni tersangatlah cbuknya…bayangkan 2 hari duk kat cni tgk staf2 dia bukan main lagi masuk kul 8 rehat kejap je kul 10 kadang2 tak rehat pon then tgh hari dan lepas tu sampai la kul 5 tak duk diam. Memang banyak betul sampel…bayangkanla dapat organ2 real dari wad…huhu…..appendik la…cecair macam2….breast pon ada (yang dah kena kanser)…bayangkanla….

Kat cni tak buat banyak sangat kije..sebab biasanya staff yang buat embedding(pembenaman tisu), guna microtome (sectioning), dan sampaila penyediaan slide n staining..sebabnya yang ni sangat2 la bahaya klu bg trainee yang buat..klu salah alamaknya dr atau sesiapa saja akan marah…ni betul2 ni bukan cobaan..sebabnya ini adalah hospital..kita bermain dengan sesuatu yang REAL…bukan lagi teori…bukan blh buat silap suka2 ati…

Kat Immunostain n H& E staining plak..semuanya guna mesin… so senangla kijenya… but still kena hati2 gak…apa pun… lab ni sentiasa cbuk…dan selalu didatangi MO dan Dr juga..Memangla banyak sangat nak citer tapi dah rasa cukupla setakat ni becoz dah tandatangan secrecy agreement(penjanjian ngan hospital).. so tak bleh la nk kluarkan sesuatu maklumat yang mendalam2 lagi..just bleh citer pengalaman yang dapat cket2 je…apapon thanks semua..terutamanya buat sha ( ur r so nice from the first day I know u)..pada staff yang garang2 pon thanks coz tanpa korang trainee ni jadi tak tentu hala… bila adanya marah2 tu barulah ada ala cket… apapon thanks semua..lepas ni lab molecular menanti…dan lepas tu masuk blood bank…

Baru seminggu.. ada lagi 7 minggu..rupa-rupanya menghitung hari nak balik…. Al maklumlah..sebenarnya nak duk umah tapi tak dapat.. duk la umah abang kat sini… apapon thanks to abg… sudi plak mai amik ptg2… pagi2 tumpang nurse yang kije kat HTAA jugak…then this is my story for this week..actually I’ll share my experiences here untuk tatapan semua..semoga bermanfaat terutama pada junior2 yang berminat nak buat praktikal kat hospital… Haaa…kena la bersedia hadapi semua ni…kadang2 rasa jugak kepentingannya praktikal…kita akan lebih faham apa yang dah belajar bila kita jalani latihan.

Apapun..hope for the best di masa-masa akan datang..Pada kawan2 kat Hospital KB (k.hajar,k.pae, k.tini n fatin), HUSM(k.khalilah n fifah), di Hospital Klang(asiyah),kham di (hospital Sabak Bernam) di IMR(ifti), di Hospital Kedah (Su, Hanan, n d gang), Farmakologi UM( syairah), Mikrob PPUM(Yah), Hospital tawakal(Maziah) n others yang buat LI..hope u all d best..kumpulkan pengalaman berharga walaupun di mana berada dan dalam lapangan apa sekalipun..Salam ceria di hari cuti ni.. Mana imran (anak sedara) ni… Owh dah datang pon… nak tgk Upin Ipin..so I’ll let him tgk Upin Ipin la.. End of Story.

~Imran~


Dalam meniti hari-hari terkadang jiwa kita resah memikirkan akan segala ujian yang menimpa hidup. Begitu jua seringkali menerjah ruang pemikiran akan terjadinya sesuatu yang kita tidak sukai. Begitulah ceritera kehidupan. Sukar untuk ditafsirkan.

Inginku berkongsi sebagai tanda saling mengasihi, saling memperingatkan dan saling bertegur sapa. Hidup ini payah dan mudah. Ya, kekadang payah itu kerana kita tidak dapat memikirkannya sebagai mudah. Sebab itulah ada pepatah yang mengatakan “ orang yang berjiwa besar melihat masalah itu sebagai kecil” sedangkan orang yang berjiwa kecil melihat masalah sebagai besar”.

Mudah itu bukan kerana tiada kepayahan tetapi kepayahan itu sudah jauh dari pemikiran kita. Kerana payah itu tidak singgah dalam kotak pemikiran kita. Payah dan mudah. Mari sama-sama kita renungi maksud kalam suci;

Maksudnya: “Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan” –S.AQ Al Insyirah ayat 5 dan 6.

Dan daripada ayat yang lain;

Maksudnya: “dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap” S.A.Q Al Insyirah ayat 8.

Betapa benar dalam setiap kesulitan ada kemudahan dan hanya kepada Tuhanlah tempat kita berharap sesuatu perkara.

Sesudah kita melakukan sesuatu maka berharaplah hanya kepada Allah. Nasihat ini ditujukan buat diri ini juga yang sering alpa dengan nikmat dan kurniaan daripada Allah. Yang sering mengeluh apabila disinggahi ujian yang kecil Cuma. Pada yang kini, patah semangat dalam hidup, ayuh, kita teruskan perjalanan ini. Ingatlah wahai diri dan semuanya bahawa dunia ini adalah tempat bercucuk tanam agar dapat dituai diakhirat kelak.

Sungguh perjalanan ini hanyalah suatu yang singkat. Maka beruntunglah mereka yang menggunakan masa yang singkat ini untuk sesuatu yang amat-amat berguna dan menjauhi daripada perbuatan sia-sia. Alangkah bahagianya jika akhirat itu sentiasa dihati kita tidak kira waktu senang ataupun susah.

BUKU PENGALAMAN

Ku dapatkan dua perkataan ini daripada seorang yang akan pencen sekitar dua tahun lagi. Sememangnya buku ini tidak dijual dimana-mana.Tiada yang dapat menjualnya di pasaran kerana buku pengalaman adalah sesuatu yang berharga. Manakan sama orang yang pernah menjadi seorang ibu atau bapa dengan orang yang belum merasainya. Oh, bukankah ini sudah berbeza. Inikan pula bagi orang berpengalaman dalam jerih peritnya meniti perjalanan hidup ini.
Seorang ahli sufi mengatakan “ Biarlah aku sederhana pada pandangan orang lain, rendah pada pandangan sendiri dan tinggi pada pandangan Allah”. Pandangan dinukilkan dalam kitab Ihya’ Ulumuddin. Alangkah sufinya diri ahli sufi ini.
Menjadi dewasa adalah sesuatu yang diimpikan oleh sekalian anak kecil sedangkan orang dewasa mahu kembali kepada zaman kecil-kecil dahulu. Begitulah kita…. Seringkali terfikir bilakah masanya kita akan mensyukuri segala kurniaan secara total.

PENGALAMAN MEMATANGKAN

Orang tua-tua ada menyebut…kami makan garam dulu. Iya, mungkin benar mereka sudah banyak pengalaman. Sekilas ikan di air sudah tahu jantan betinanya. Semakin hari pengalaman akan bertambah. Semoga pengalaman itu akan lebih mematangkan diri. Sejak beberapa hari merasai praktikal, barulah rasa sangat mencabarnya dunia luar. Apa tidaknya jika sebelum ini hanya berkawan dengan buku dan sekarang salah sedikit maka habislah semuanya. Itulah yang menjadikan kita semakin cuba untuk belajar. Mengurangkan kesalahan malah jika boleh meniadakannya dalam hidup kita.

TERUJIKAH KITA?

Jika jawapannya ya bersyukurlah….dan jika jawapannya daku lemah dalam ujian ini maka kembalilah pada Allah. Sememangnya itu yang seharusnya kita lakukan dalam setiap apa yang berlaku. Sememangnya ujian itu datang. Kekadang bisikan halus sentiasa berbisik terutama pada waktu usia meningkat dewasa kini..menyuruh-nyuruh agar mencari teman.. namun adakah caranya itu benar dan betul untuk kita lalui… semoga dipermudahkan jalan dan diredhaiNYA dalam setiap perjalanan hidup kita. Biarlah segala ujian yang terdahulu mematangkan kita dan memimpin untuk perjalanan hari-hari yang akan datang.

Seandainya esok bukan milik kita lagi……….Semoga hari ini adalah hari yang tidak membawa penyesalan buat diri kita. Kejayaan hari esok bermula dengan langkahan pada hari ini… Salam penuh ta’zim daripada insan yang mengharap keredhaan Ilahi ini.
~Meniti hari menginsafi diri meneladani sebuah misi menuju Ilahi~

~Qoute of the day~


Orang Baru?


Susah ke nak terima orang baru dalam hidup kita?

Susah ke nak bagi ruang kat dalam hati kepada seseorang?

Susah ke kita nak berkongsi?

Susah ke…….

Pertanyaan ini diajukan kepada penulis…..

Nak jawab macam mana pun tak tahu…

Kadang-kadang ada benarnya….

Susah nak menerima kehadiran orang lain dalam kehidupan kita…

Kekadang kita dah berkawan dengan seseorang itu dari kecil pun tapi….

Kita masih belum mengenalinya rupanya….

Dia dah banyak berubah dan sebagainya…..

Begitulah manusia…… kekadang sukar untuk diramal….

Apapun…

Apabila nak menerima orang baru…

Bukalah ruang hati seluas-luasnya…

Mungkin saja ada yang tidak kena pada pandangan kita

Mungkin saja orang itu banyak kelemahannya..

Apa yang lebih penting ialah….

Carilah kebaikan di sebaliknya…

Kerna dia juga manusia seperti kita….


~Lapangkan hati, buka minda seluasnya~


*Semua yang datang akan pergi akhirnya so.......

*Apa yang kita dapati bukan milik kita so.......

* Hidup ini bukan selama-lamanya so.....

*Ujian itu menguji kita so........

*apa yang kita mahukan kadang-kadang bukan milik kita so.......


~ayat-ayat di atas membuatkan kita berfikir, kita sering merungut dan mendesah bila sesuatu itu menimpa kita tapi adakah kita sedar maksud-maksud ayat-ayat di atas....

~Al-Qur'an merupakan tuntutan untuk kehidupan kita, semoga kita sentiasa berinteraksi dengannya( menjadikannya) benar-benar panduan untuk kita.

~Make ur days better everyday.....

*Sometimes we want to get what we want but it's not good for us.... so let it go away from us~
Sekadar gambar hiasan

Alhamdulillah….

Kian hampir menjelangnya hari untuk pulang. Serasa sudah lama tidak pulang, tidak menatap wajah adik-adik kesayangan. Merakalah buah hati pengarang jantung. Usai saja pulang untuk sehari semalam, terus saja berangkat lagi. Destinasi yang menjadi pilihan adalah Kuantan, Pahang. Memikirkan mengenai tempoh 2 bulan disana, agak lama sebenarnya, mudah-mudahan dipermudahkan segalanya.

Sekejap sungguh waktu tak tersedar sudah melaluinya. Walaupun hanya sedikit saja serasa ilmu didada namun insyaALLAH pengalaman yang ada berguna buat selamanya. Mengenang memori terutamanya berada di bumi nilam adalah suatu yang berharga. Tempat mana lagikah yang serupa itu? Bumi manakah lagi yang seindah itu? Mungkin ada, dan di sini telah jua menjadi singgahan bermakna buat diri ini. Belajar mengenali diri, belajar mengenali erti sebenarnya menjadi pelajar dan sebagainya disini. Rindu untuk bertamu di Ja’afar Rawas, antara gedung buku yang dikira banyak menempatkan mutiara ilmu.

Menjejak pula ke bumi Kuala Lumpur. Dengan sedikit kekuatan digagahkan kaki untuk meneruskan perjuangan ini. Walaupun serasa lucu pula bila dikenang kembali. Pernah, berhajat untuk bertukar bidang, bertukar tempat pengajian malah ingin memilih profesion yang tidak diminati. Semuanya berlaku dalam sekejap cuma. Mungkin pertimbangan pada waktu itu adalah antara dua. Nasib keluarga dan nasib sendiri. Alhamdulillah, rasa syukur itu akan tetap bersemadi di jiwa, InsyaAllah. Syukur kerana dengan bantuan biasiswa dapat jua meneruskan hajat. Benarlah, rezki dari Allah, tidak terduga diakal hambaNYA.

Menyorot pengalaman hanya secebis. Banyak lagi yang tidak tergapai. Banyak jua yang terlepas di pandangan. Semoga yang sedikit ini bisa berkembang lagi dan lagi. Ketika di Kuala Lumpur inilah serasa barulah menghayati nikmatnya hidup bersendikan ajaran Islam. Melihat suasana dan situasi pelbagai, gerun mencetus rasa. Bagaimanalah nasib generasi mendatang jika generasi kini begini rupanya. Bagaimana agaknya orang-orang yang akan meneruskan perjalanan dan kembaranya dibumi Tuhan andai jenuh dikelilingi manusia yang buruk akhlaknya.

Dan kini, masa jauh meninggalkan kenangan yang terpahat dimemori. Jauh jua menjadi simpanan yang insyaAllah berguna di kemudian hari. Sakit, sihat bersilih ganti. Menjadi asam insan diuji. Sebenarnya tidak tahu mencoret apa. Asalnya hanya mahu meluah rasa, meluah segala yang tercanang di minda.

Siapa kita selepas ini?

Biar siapapun kita, semoga kita akan terus menjadi hambaNYA yang berpegang teguh pada agamaNYA. Biar saja orang tidak menegenali kita asalkan kita ada tempat disisiNYA. Dan semoga segala panduan dan ilmu bermasyarakat sebelum ini akan dapat digunakan sebaiknya. Kita adalah pengembara, sampai saatnya akan sampai jua ke destinasinya.

Semoga dengan adanya secebis kecekalan menjadi penguat tatkala badai menimpa, menjadi tempat berpaut tatkala diuji segala rencam dunia. Asal saja tempat bergantung harap sepenuhnya iaitu pada ALLAH tidak dilupa. Tiada kata-kata indah bahkan tiada pesanan azimat dapat diberi hanyalah sepotong doa agar kita sama-sama teguh di dalam hidup ini bersendikan syariat berpangkalkan agama. Salam terus juang buatmu para pemuda pemudi harapan agama, bangsa dan Negara.

Salam penuh takzim dari bintulyamin As- Solehah.

Uuuu...
Kenangi Ibu Bapa
Doakanlah Sejahtera
Kita Anak Harus Membela
Apabila Sudah Dewasa

Jangan Biarkan Mereka
Sia-Sia Di Hari Tua
Kecewa Hidup Dan Merana
Kerna Perbuatan Anak Derhaka

Bahgiakan Mereka
Hingga Ke Hujung Usia
Bila Sampai Waktu Ajalnya
Anak Soleh Sebagai Harta

Hai... Ibu Bapa
Kami Permata Anda
Tidak Jemu Berdoa
Agar Sejahtera Terpelihara

Di Dunia Bahagia
Akhirat Pun Begitu Jua
Inilah Harapan Kami Semua
Moga Allah Kabulkan Doa

*Munsyid : Rabbani

*Tiada yang dapat menjadi bekalan melainkan 3 perkara; ilmu yang diamalkan, sedekah jariah dan juga anak soleh..moga kita tergolong dalam golongan yang menjadi bekalan ini.

Semoga roh insan yang pergi terdahulu dicucuri rahmat..amin ya Rabbal 'alamin.

Bacaan yang banyak


Bertemu lagi dalam catatan rasa seorang pengembara di alam fana ini. Kali ini suka untuk saya bawakan sedikit santapan minda agar sama-sama kita fikirkan. Al-maklumlah sekarang ini kan minggu-minggu kritikal jadi untuk lebih kritikal apa kata kita fikirkan sesuatu secara kritikal :)

Ada apa dengan Membaca?

* Membaca jambatan ilmu*Ilmu Penyuluh Hidup* Buta Hati tanpa Ilmu dan sebagainya merupakan ungkapan-ungkapan untuk ilmu dan kaitannya dengan membaca. Membaca ini banyak cabangnya dan banyak pula bahannya. Orang yang banyak membaca akan pandai pula menulis malah akan menghasilkan sesuatu yang luar biasa daripada apa yang dibacanya sekiranya dia menggunakan akalnya dengan baik. Masyarakat yang membaca adalah masyarakat yang maju. Cubalah kita menyelak lembaran sejarah kehidupan terdahulu, dengan membaca sesuatu masyarakat akan dapat mecapai kemajuan tidak kira dalam apa bidang sekalipun. Indahnya islam kerana didalamnya ada suruhan membaca. Malah bukan sekadar itu, berfikir, merenung, menghayati malah mengamalkannya.

Etika membaca
*Membaca haruslah dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim. Barulah berkat dan diharapkan apa yang dibaca itu diredhai malah difahami dan dihayati dengan sebaiknya.

Kenapa membaca?
*membaca bukan sekadar menghabiskan masa lapang ataupun hobi malah membaca itu bukan sekadar keperluan malah boleh sampai ke tahap kewajipan. Seseorang yang tidak tahu mengaji wajib mempelajarinya agar dapat membaca al-Qur'an denagan betul. Walaupun bukan untuk masuk pertandingan cukuplah sekadar membacanya dengan betul didalam solat yang didirikan setiap hari.

Bagaimana membaca?

*Ada berbagai cara untuk membaca. Ada teknik baca sepintas lalu dan juga membaca serius. Menghayati dari baris ke baris. Pilih saja mana mahumu :)

Pentingkah membaca?

~Perlukah menjawab soalan ini. Biarkan minda anda menjawabnya.

Bila membaca?
*Setiap masa yang ada yang boleh dijadikan masa untuk membaca. Capaian maklumat sekarang sudah semakin canggih. Dunia di hujung jari. Klik sahaja semua terhidang didepan mata. Biarkan iman anda memilih apa yang perlu dibaca.

Membaca itu bukan sekadar menjadi hiburan. Ramai orang sanggup berhabis ribuan ringgit membeli novel. Bila ditanya apa yang menyebabkan dia begitu, jawabnya" Kepuasan".

Nah, sekarang jadikanlah membaca satu jambatan ilmu.

Membaca bukan sekadar di sekolah, di universiti malah untuk tujuan-tujuan ilmiah malahan membaca adalah untuk panduan dalam kehidupan. Ayuh mulai hari ini kita sama-sama jadikan membaca amalan hidup kita.....bukan sekadar slogan tetapi sebagai penghayatan..

Renung-renungkan dan selamat beramal (pinjam kata-kata Prof Izzi)

*moga pembacaan kita ini mendapat rahmat dan magfirah daripada Tuhan Penguasa Sekalian Alam...


Firstly, rasa macam tak “ok” je tulis entri ni sebab ada banyak lagi benda lain nak kena buat tapi nak tulis jugak, nak kongsi jugak dan akhirnya dapatlah menulisnya..

Banyak sungguh peristiwa yang berlaku sekitar seminggu dua ini..bermula dengan minggu final exam untuk final year, dan bermacam juga yang berlaku sebelum itu.

Sahabat-sahabat ada yang kena ujian yang lagi berat…. Yang menuntut kesabaran, kecekalan dan tentunya ketabahan. Mengingatkan itu semua benarlah apa yang dikatakan Allah dalam firmannya yang maksudnya janganlah kamu mengira dirimu beriman sebelum diuji. Menyusuri sirah Rasulullah lagilah perit perjuangan Baginda. Namun itulah yang menjadikan martabatnya juga tinggi sebagai rahmat untuk sekalian alam. Semakin berat ujian, semakin mendekatkan diri kita pada ALLAH.

Semoga Allah berikan jalan dan ketenangan kepada sahabat-sahabatku;

  • Yang permohonan LInya di “reject” di masa-masa terakhir dalam waktu exam ni, moga dapat tempat ganti cepat-cepat.
  • Yang menanggung beban hutang kerana khianat.
  • Yang adiknya tiba-tiba hilang dan tidak dapat dijejaki hingga saat entri ini ditulis. Ya ALLAH, pertemukanlah.
  • Yang masih berkira-kira mahu ke mana selepas ini, moga-moga cepat selesai membuat keputusan dan mengambil tindakan seterusnya yang sewajarnya.
  • Kepada yang ada banyak lagi paper…yang papernya adalah killer subject. Moga-moga diberi ketenangan jawab periksa nanti.
  • Kepada yang ditimpa ujian dengan penyakit-penyakit mengejut tak termasuk “penurunan berat badan” sebab stress…penyakit-penyakit yang mengandungi risiko yang tinggi seperti sakit jantung, stroke dan sebagainya.
  • Kepada yang diuji dengan kehilangan orang-orang yang disayangi.
  • Kepada yang mendapat pelbagai lagi ujian…….

Diucapkan ….semoga tenang dan tabah. Minta lah pertolongan daripada-NYA.

Dan tiada yang lebih dapat menenangkan hati melainkan menghayati ayat-ayat ALLAH sebagai bekalan dan panduan menghadapi segalanya… Renungkanlah bersama-sama;

“….Dan barang -siapa yang bertakwa kepada Allah, niscaya Allah menjadikan baginya kemudahan dalam urusannya. Itulah perintah Allah yang diturunkan-Nya kepada kamu, dan barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, niscaya Dia akan menghapus kesalahan-kesalahannya dan akan melipat gandakan pahala baginya”-ATh-Thalaaq (4-5).

Pesona Dunia

::Inteam ::

Indah dunia yang mempesona
Bagai dian terang menyala
Sehingga terlupa kan padam akhirnya

Dunia ini hanya pinjaman
Untuk menguji keimanan
Akhirat nanti yang menentukan
Balasan syurga ataupun neraka

Mengapakah dunia yang dikejari
Sedangkan ia ?kan ditinggal pergi
Apalah gunanya harta di sisi
Tika jasad terkubur terkaku mati

Bayangkanlah jika di dunia ini
Bekalan terhenti mudah dicari
Bagaimana pula di sana nanti
Tanpa bekal pahala kita yang rugi

Bersyukurlah sentiasa
Dengan apa yang ada
Adakala harta dunia
Belum tentu membantu kita
Menjadi bebanan dan menyusahkan

~Indahnya dunia yang fana ini ibarat fatamorgana, dikejar dan dibayangi namun kan hilang akhirnya, sesekali merenung ke dasar diri adakah terpesona dengan dunia.... Dunia ini sungguh melelahkan dan beruntunglah orang-orang yang mencari kerehatan di alam kekal~

~Ya Allah, andainya seisi dunia ini mahu memberikan kemudaratan pada hambaMu nescaya tidak terlaksana dengan izinMu, begitupun jika seisi dunia ini berkumpul untuk memberikan kebaikan pada hambaMU tentunya tidakkan terlaksana tanpa izinMu jua. Berkatilah hidup kami yang sementara cuma ini, kami memohon, merintih dan merayu padaMU~amin ya Rabbal "Alamin~


Saya bertanya kepada emak, mana satu pilihan hati, orang yang sayangkan kita atau yang kita sayang?

Mak jawab, kedua-duanya bukan..

Saya tercengang.. Mak mengukir senyuman.

Pilihan hati mak adalah yang sayangkan kita kerana Allah.. Saya menarik nafas dalam-dalam.

Macam mana nak tau orang tu sayang kita kerana apa? Mak diam sekejap berfikir dan kemudian tersenyum.

Rasanya, mak dapat menduga apa yang sedang bermain dalam hati anak perempuannya.

Mana mungkin saya mampu menyorokkan rahsia hati dari mak sedangkan sekilas saya pun mak mampu membacanya.. Yang paling tahu hanya Allah.. mak merenung dalam-dalam wajah anaknya. Kerana hanya Allah mampu membaca hati hambaNya..mak menyusun ayat-ayatnya. Dan keikhlasan kerana Allah itu akan terserlah keberkatannya tanpa perlu sengaja ditonjokan oleh seseorang tu..

Saya memintas, Tak faham..

Mak menyambung Cinta di dalam jalan Allah.. Bertemu kerana sama-sama mencari redha Allah.. Mak menyambung lagi, begini, setiap insan yang bergelar manusia telah Allah ciptakan berpasang-pasangan. Rasa ingin dikasihi antara seorang suami dan isteri suatu fitrah. Automatik boleh ada daya tarikan magnet tu..Wajah saya merah, sedikit cemas jika mak dapat mengesan gelora jiwa muda ini.. Mak menyambung, Setiap manusia telah Allah tetapkan rezeki, jodoh dan maut sejak azali lagi.. Persoalannya ialah.. Siapakah jodohnya itu? mak berhenti

seketika. Saya tunduk malu, cuba menyorokkan rasa panas di pipi. Emak buat-buat tidak nampak.

Secret Admire

Kakak, mak dulu masa besar ada secret admire.. Rajin betul dia hantar surat..Masa tu mak dah tahu yang bercinta sebelum kahwin ni tak halal..Dan masa tu mak tekad tak mahu layan sebab mak takut arwah tokwan kena seksa dalam kubur.. Mak sedar mak anak yatim, anak orang miskin, adik beradik ramai.. Mak nak belajar sungguh-sungguh. . Lama budak tu tunggu mak.. Akhirnya mak bagi kata putus, mak hanya akan membalas cinta dia jika dia sah suami mak.. Dan dia memang bukan jodoh mak, maka tak pernah dia menerimabalasan cinta tu. Mak merenung jauh. Saya merapatkan badan kepada emak, semakin berminat dengan kisah lama mak..

Mak memang tak ada perasaan lansung pada dia ke? saya menyoal sambil memandang tajam wajah mak. Emak ketawa kecil. Walaupun mungkin ada, mak tak pernah bagi peluang pada diri mak untuk mengisytiharkan perasaan tu..

Mak takut pada Allah...

Mak bukan seperti rakan sebaya mak yang lain.. Mak, seperti kakak..mak memandang saya sambil memegang pipi dan dagu saya. Kemudian tangannya mengusap rambut di kepala saya.

Mak anak ustaz ustazah.. Tapi zaman tu ustaz ustazah nya masih berkebaya pendek dan ketat. Tok wan mak kiyai. Mungkin berkat doa keturunan sebelum ni

yang soleh-soleh, hati mak tertarik sangat pada agama walaupun tiada

sesiapa yang mendorong..

Bila di sekolah, mak pelajar pertama yang bertudung.. Mak membawa imej agama. Kawan-kawan dan cikgu-cikgu panggil mak dengan gelaran mak Aji.. Sebab zaman tu hujung 70an dan awal 80an tak ramai lagi yang bertudung betul menutup auratnya..Zaman tudung nipis dan nampak jambul. Kemudian kawan-kawan mak sikit-sikit ikut bertudung.

Akhirnya kami semua dipanggil di perhimpunan. Kami dimarah guru besar kerana bertudung sedangkan ustazah kami bertudung tapi nampak jambulnya.. emak melemparkan pandangan ke lantai. Selepas tu ustazah jumpa kami secara persendirian. Ustazah kata dia tak mampu nak pakai seperti kami. Dia suruh kami teruskan.. sambung emak. Ada getar di hujung suara emak. Kisah silam perjuangan emak di sekolah dahulu sikit-sikit emak ceritakan pada saya. Itulah juga salah satu inspirasi kepada saya untuk bangkit semula setiap kali terjatuh ketika berjuang di sekolah dulu.

Mungkin kerana personaliti mak, mak menjadi tempat rujukan kawan-kawan mak.. Jadi, bila mak nak ambil sesuatu tindakan, mak kena fikir betul-betul sama ada tindakan mak tu akan menyebabkan Allah marah atau tidak. Mak ayah berdosa tak?

Dan maruah pembawa agama terjejas tak? Kalau mak membalas cinta si lelaki tadi, bermakna mak sedang menconteng arang di muka-muka pembawa pembawa agama. Orang akan pandang serong terhadap orang yang bertudung

sedangkan kesilapan tu hanya seorang dua yang buat. Besar fitnah akan timbul apabila orang-orang agama mengambil ringan batas syariat duhai anak..mak menelan air liurnya. Saya diam. Fikiran saya sedang cuba memahami maksud mak saya.

Adakah ia suatu diskriminasi?

Kakak..

Jatuh cinta perkara biasa. Apabila kita jatuh cinta pada seseorang, itu tandanya ada sesuatu keistimewaan pada seseorang tu. Apatah lagi orang yang kita jatuh cinta tu di atas jalan dakwah ni..Tetapi kita kena ingat.. Kita tak akan dikahwinkan dengan seseorang atas sebab jatuh cinta atau saling cinta mencintai..

Bercouple mungkin.. Tetapi bukan berkahwin.. Kerana kita berkahwin dengan jodoh kita, jodoh yang Allah dah tetapkan sejak azali.. Dan tak mustahil orang yang kita paling benci itulah jodoh kita yang kita akan dikahwinkan dengannya..

Tiba-tiba air mata saya mengalir. Argh! Ego saya kalah bila mendengar hujah emak. Emak meneruskan, Allah itu Maha Adil.. Dia tak pernah

menzalimi hambaNya..

Sesungguh nya, yang selalu menzalimi hambaNya ialah diri hamba tu sendiri.. Sebabnyam hamba tu degil. Dia mahukan yang bukan haknya, yang bukan milik dia. Mencintai seseorang tidak semestinya memilikinya.

Dalam Islam, kita dah diajar untuk saling mencintai antara satu sama lain seperti diri sendiri.. Jadi apabila kita mencintai saudara perempuan, kita bebas peluk dia. Tetapi bila dengan lelaki, kita ada batas-batasnya. Orang kafir kata batas-batas ini suatu diskriminasi, tetapi sebenarnya batas-batas syariat itulah yang memelihara kehormatan seorang lelaki dan seorang perempuan.

Cuba kakak renungkan..

kita mengenali seorang insan yang amat baik, sempurna agamanya dan rajin. Lalu kita jatuh hati padanya. Ditakdirkan jodohnya dengan insan lain, kita pula dengan yang lain.. Tetapi itu tidak bermakna ukhwah antara kita dan dia terputus.. Kita dan dia sama-sama mencari redha Allah.. Kita dan dia masih boleh sama-sama bekerjasama untuk mencari redha Allah.. Perbezaannya, dia halal untuk isterinya sedangkan untuk kita, dia tetap lelaki ajnabi

seperti yang awalnya. emak berhenti seketika..

Bukan luar biasa

Tentu kering tekak emak menerangkan kepada saya persoalan hati ini. Kakak..

jadi di sini mak nak kakak faham, jatuh cinta bukan perkara luar biasa. Dan berkahwin pun bukan suatu jaminan untuk tak jatuh cinta pada lelaki lain.. Kerana itulah ramai isteri yang curang, suami yang curang.. Ada orang tukar pasangan macam tukar baju. Apa yang penting ialah kita kena perjelaskan pada diri kita supaya setiap kali kita jatuh cinta, jatuh cinta itu kerana kita jatuh cinta kepada Pencipta dia.

Kita bagi tau pada diri kita berulang kali yang kita mencintai Allah, kerana itu kita mencintai si dia. Letakkan Allah sebagai sempadan hati kita, segala perkara yang kita cintai dan sayangi termasuk mak abah adalah kerana mencintai Allah.. Dan apabila kita membenci seseorang atau sesuatu, beri tahu pada diri sendiri berulangkali yang kita benci sekian-sekian hal kerana Allah semata-mata. .

Kakak..

Hati kita ni walaupun dalam dada kita sendiri, ia tetap bukan milik kita. Kita tak mampu untuk mengawalnya. . Hanya Allah yang boleh memegangnya. . Sebab tu kita kena dekatkan diri dengan Allah.. Sebab kita nak dia pegang kukuh-kukuh hati kita. Bila dia pelihara dan masuk dalam hati kita, itulah nikmat lazatnnya bercinta.

Masa tu biarpun satu dunia menyakiti kita, kita tak rasa sakit sebab kita asyik dengan nikmat bercinta dengan Allah..Bercinta dengan Allah sangat berbeza dari bercinta dengan manusia. Kerana tentulah pegalaman bercinta dengan lelaki kaya,rupawan, sempurna dan bijaksana tak sama rasanya bercinta dengan lelaki miskin, hodoh,cacat dan dungu.. Betapa nikmatnya cinta Allah, hanya mereka yang pernah merasai sahaja yang mampu mengerti.

Redha

Kakak..

Walau siapapun jodoh yang Allah hantarkan untuk kakak, terimalah dengan

hati yang redha.. Tak mustahil dia adalah orang yang kita benci. Kalau yang kakak sayang, tak jadi hal lah.. Tapi kalau dapat yang kakak tak nak, lantaran kelemahan yang ada pada dia, ingatlah bahawa dalam diri setiap insan telah Allah ciptakan dengan kelebihan masing-masing.

Dan mungkin kakak ada kekuatan yang dapat mengubah si lelaki tadi supaya

hidup dia bermakna dan mungkin kakak sahaja yang mampu mencungkil kelebihan yang ada pada dia.. Mungkin juga si lelaki ini ada sesuatu kelebihan yang kakak sangat-sangat perlukan yang satu dunia tak mampu bagi pada kakak.. Alangkah bertuahnya kakak kalau kakak mengerti setiap pemberian Allah dan belajar untuk bersyukur.. Sekali lagi berjuraian air mata saya turun. Terasa lemah lutut hendak berdiri.

Emak menarik tubuh saya dan memeluk erat. Pelukan emak sangat-sangat kuat.

Emak dah didik anak emak dari belum lahir untuk mencintai Allah..

Sekarang emak serahkan anak emak yang mak sayang sangat ni pada Allah

untuk Dia pelihara..Emak mengakhiri kata-katanya dengan suara sebak

dan air mata yang mengalir ke bahu saya.


~Ini diambil apabila melakukan blog walking ke laman ex-smaasza..tertarik dan mahu dikongsikan buat semua.~

*Saat untuk membuat keputusan adalah sesuatu yang sukar, moga terpandu dalam redhaNYA~