Mataku menatap sayu pada helaian kertas yang bertebaran di penjuru meja. Kelihatan ada secebis nota yang ditinggalkan. Kecil dan samar sahaja tulisannya. "Jumpa di dewan makan jam 5 ptg-k.Ainul Mardhiyyah". Jiwa lantas bercelaru. Perlukah memenuhi permintaan seorang yang bergelar kakak ini ataupun membiarkan sahaja nota itu hanya tinggal nota.
Aku mesti jumpa dia, hati kecilku berbisik. Jangan, kau tak perlu jumpa dia. Kenapa mesti jumpa orang sepertinya, ada suara halus yang menyerang seluruh pemikiranku. Kedua-duanya saling mendominasi benakku hingga mahu sahaja aku membungkus kepala ini dengan kain 'key' supaya kejap dan tidak ladi berputar dengan persoalan remeh ini.
Jam menunjukkan angka 4.30 petang. Sebentar lagi azan asar akan berkumandang. Seperti biasa aku akan mengambil wudhuk dan turun ke surau berdekatan blok B, blok di seberang Dewan Makan. Sebaik sahaja azan berkumandang, aku dan seorang lagi temanku yang selalu menemaniku ke mana sahaja aku pergi akan berjalan beriringan ke surau. Dalam perjalanan pergi, aku lihatmasih ramai yang duduk-duduk di balkoni blok a, ada yang menelefon, ada yang bergelak ketawa, ada juga yang cepat-cepat naik apabila mataku memandang tepat ke mata mereka.
Masuk sahaja ke surau sudah ada sebaris sof bersiap sedia untuk iqamat, aku bang
un sambil mulut terkumat-kamit menjawab iqamat yang dilaungkan. Kami solat asar berjemaah dan sesudah itu bacaan Mathurat pula dialunkan. Itulah rutin kami di surau selepas solat Asar. Aku memandang jam, jarum jam melewati angka lima, dan jarum pendek pula di garis nombor tiga. "Alamak, dah lewat" aku berbisik sendirian.
Aku bergegas ke dewan makan. Ramai lagi pelajar yang beratur mengambil makanan petang yang berupa kuih talam dan juga air teh. Mataku melilau mencari seseorang. Nampaknya harapanku hampa kerana orang yang aku cari itu sudah tentu hilang sabar kerana telah menungguku sekitar lima belas minit yang lalu. Aku menapakuntuk naik ke atas dorm. Tiba-tiba,bahuku ditepuk dari belakang, ada suara halus yang menyebut namaku. Lalu aku menoleh, sungguh orang yang aku cari kiniberdepan malah bertentangan mata denganku.
" Lama adik tunggu akak?" dia bertanya.
"Tak, baru sebentar"aku menjawab perlahan.
"Jom kita ambil makanan" ajaknya sambil menarik tanganku.
Aku mengikutinya dari belakang. Sebenarnya aku malu berjalan beriringan bersamanya. Maklumlah Kapten Asrama Puteri yang disegani berjalan bersama pelajar baru yang agak nakal ini. Tanganku mencapai piring untuk mengambil kuih talam yang disediakan. Kakak itu meletakkan dua keping kuih didalam piring sampil tangannya ligat mencapai dua cawan untuk mengisi air teh.
Kami mengambil tempat duduk yang agak tercorot, mungkin untuk memudahkan perbualan kami ini berjalan lancar tanpa sebarang gangguan dan suasana hinggar yang biasa didengari di sekitar dewan makan ini.
"Adik tahu kenapa akak ingin berjumpa dengan adik" kakak itu memulakan bicara.
"Tak"aku menjawab ringkas.
"Kakak dengar adik ada masalah, betul ke?"bicaranya lancar.
"Mana akak tahu?"suaraku mula dinaikkan.
"Jangan risau akak tidak berniat untuk mencampuri urusan adik tetapi akak ikhlas berniat membantu" ujarnya jujur.
"Saya tak ada apa-apa la kak, tengok saya "ok" je kan" aku bersuara lantang.
" Adik jangan berselindung, akak tahu, mata adik tak mampu untuk menipu" ujarnya lagi membuatkan hatiku tersentuh.
"Saya tak ada masalah kak, keluarga saya yang bermasalah sekarang" aku terpaksa mengakui akhirnya.
" Ceritalah pada akak dik,InsyaAllah jika akak mampu, akak akan cuba membantu" ujarnya lagi sambil tangan menggosok bahuku lembut.
"Akak, sekarang ini ayah saya sakit kuat, ibu baru sahaja bersalin dan emosinya masih tidak stabil,sekarang saya akan menghadapi peperiksaan SPM, jiwa saya kacau kak, saya tiada tempat mengadu, semua orang mahu bergembira saja, sedangkan saya tidak mahu semua itu"aku meluahkan rasa yang terpendam.
"Dik, Allah itu tempat kita mengadu tentang segala sesuatu, jika adik resah, minta padaNYA, tentu DIA akan mendengar rintihan hambanya. Jika jiwa kita kacau, cuba kita kembali padaNYA, dekatkan diri kita padaNYA tentu kita akan hilang pergantungan pada yang selainNYA" dia menasihatiku perlahan.
"Tapi kak, saya cuba untuk menjadi segeuh srikandi Islam tapi jiwa saya sering meronta, fikiran saya sering dihantui bisikan yang bermacam" aku menerangkan duduk perkara sebenar.
"Begitulah dik, itu semua ujian untuk orang-orang yang beriman. Oh ya, macammana keadaan ayah adik sekarang?" tanyanya mendatar.
"Ayah masih lagi kritikal kak, mungkin hujung minggu ini akan diadakan "operation""aku menuturnya lemah.
"Kita doakan ke hadrat Ilahi ye dik,moga Allah berikan ketentuan yang terbaik pada pengetahuanNYA" ujar k.Ainul lagi cuba memotivasikan diriku.
"Kak.....saya mahu berhenti belajar"aku menimbulkan riak sangsi diwajahnya.
................................................bersambung.
*Cerpen ini digarap ketika kekalutan minda menjelma.