Pada suatu hari, ada seorang
tua berjalan seorang diri. Dia berjalan mundar-mandir. Tidak tahu ke mana arah
tujunya. Sedang kakinya mula membengkak, badannya mula sakit-sakit. Tongkat
yang dipakainya menahan dia daripada jatuh. Lantas, dia gagahkan jua. Mahu
mencari sesuatu. Ke mana agaknya, ke kiri atau ke kanan. Ke depan atau ke
belakang. Ke tepi atau ke mana.
Orang tua itu mula mengimbas
kembali. Bagaimana dia dan hidupnya? Iya, terasa sekejap masa berlalu. Di telan
dan dimamah usia. Yang tinggal kini apakah? Dia terkenang-kenang,
terbayang-bayang, bagaimana nasibnya nanti. Berada di alam abadi. Sebanyak
manakah amalnya kini. Alangkah…..
Tiba-tiba, orang tua itu di
datangi, seorang lelaki. Persis saja seorang pemuda. Bermuka jernih, tegap dan
sasa. Orang tua itu menyapa. Mahu ke mana anakku? Orang muda memberi salam
hormat. Menceritakan permasalahannya pada orang tua ini. Orang muda berkata, “Begini,
daku sekarang dalam masalah besar, menentukan urusan yang bakal ku tempoh dalam
tempoh yang lama”. Anak muda berwajah sugul, Nampak benar menanggung beban di
benaknya.
Orang tua tersenyum. Kamu
tentu saja sedang memikirkan permasalahan orang-orang seusiamu kan? Orang tua
meneka. Orang Muda senyum saja. Mahu di jawab tidak terluah. Tersekat saja
antara lidah dan halkum. Orang Tua senyum lagi.
Orang tua bagaikan mengimbas
kembali dirinya. Sewaktu mudanya, sewaktu gagahnya, sewaktu usianya seperti
orang muda. Lantas, orang tua bercerita;
“ Anakku,
Mencari pasangan hidup bukan
mudah. Pasangan hidup maknanya pasangan untuk hidup bersama, bukan sekejap.
Jika umur panjang mungkin bersama sehingga
50 tahun.
Bangun bersama, makan bersama, berbual
bersama, tidur bersama.
Berkongsi anak, berkongsi rumah, berkongsi
rasa, berkongsi kasih.
Maka, mencari pasangan hidup ini memang
perkara serius. Serius. Memang serius.
Jangan akibat si dia mengurat anda, maka
anda terus terpesona dan bersetuju. Jangan semata si dia comel atau glamour,
maka anda terus mengambilnya.
Fikir betul-betul. Solat istikharah dan
banyakkan berdoa. Selagi belum tenang jiwa, tunggu dulu. Usah tergopoh gapah.
Mencari jodoh, perlukan panduan. Perlu ada sandaran ilmu dan petunjuk.
Dalam banyak-banyak penulisan saya suka
memetik sebahagian dari artikel Ust Hasrizal (Abu Saif) dalam lamannya
SaifulIslam.com.
Antara yang menarik tulisan berikut:
Hadis Nabi SAW yang diulang-ulang sebagai
slogan memanifestasikan keinginan berumahtangga.
Bukan tidak banyak penjelasan tentang hadis ini di pelbagai sumber
maklumat yang ada. Tetapi sering anak muda kecundang dalam mengimbangkan
kefahamannya dalam konteks TEPAT
dan JELAS.
Selagi mana tidak tepat, selagi itulah
jalannya tersasar ke sana sini. Kehidupan yang tidak ditentukan arahnya, adalah
kehidupan yang tidak tentu arah.
Apa Tujuan Berumahtangga?
"Begin with the end in mind",
adalah slogan kita untuk menepatkan matlamat kehidupan dan segenap peringkat
perjalanannya.
Soal menentukan matlamat yang tepat,
tidaklah begitu susah.
Berkahwin
kerana harta? Harta
bukan sumber bahagia.
Donald Trumph yang kaya raya itu pun pernah
mengeluh dalam temubualnya bersama John C. Maxwell, "aku melihat ramai
orang yang lebih gembira hidupnya dari hidupku.
Padaku mereka itulah orang yang berjaya.
Tetapi semua orang mahu menjadi aku"
Harta bukan matlamat atau pertimbangan
utama dalam menentukan pemilihan pasangan.
Berkahwin
kerana keturunan? Keturunan
bukan jaminan sumber bahagia.
Syarifah hanya boleh berkahwin dengan Syed?
Puteri hanya layak untuk Megat?
Atau pantang keturunan berkahwin dengan
ahli muzik bak kata Mak Dara?
Soal keturunan bukan penentu mutlak kerana
setiap manusia lahir dengan fitrah yang satu dan murni, lantas setiap mukallaf
dan mukallafah mampu kembali kepada kemurnian itu, biar pun lahir ke dunia
tanpa bapa yang sah sekali pun.
Keturunan bukan matlamat atau pertimbangan
utama dalam menentukan pemilihan pasangan.
Berkahwin
kerana kecantikan? Ahh,
yang ini rumit barangkali.
Cinta itu dari mata turun ke hati. Maka
mata pemutus pertama.
Jika berkenan di mata, mudahlah mata
memujuk hati.
Tetapi selama mana kecantikan menyenangkan
kehidupan?
Kecantikan, biar secantik mana pun, akan
pudar dengan perjalanan masa. Kecantikan, biar secantik mana sekali pun, boleh
dicabar oleh naluri manusia yang mudah kalah dengan alasan JEMU.
Mahu berkahwin sementara cantik, dan buang
selepas cantik dan kacak bergaya itu dimamah usia?
Cantik bukan sumber bahagia, ia bukan
matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.
"Maka pilihlah yang memiliki agama...
nescaya sejahtera hidupmu", pesan Nabi SAW.
Benar sekali, pilihlah yang beragama.
"Maka saya kena kahwin dengan ustazah,
saya kena kahwin dengan ustaz!", kata seorang pelajar 'bidang bukan
agama'.
Penyakit "Tidak Jelas"
Setelah begitu tepat sekali kita menolak
harta, keturunan dan rupa paras sebagai sebab untuk memilih pasangan, tibalah
kita kepada masalah paling besar menguruskan fikiran tentang perkahwinan, iaitu
penyakit "tidak jelas", apabila tiba kepada soal beragama.
Apakah yang memiliki agama itu mesti
seorang yang ustazah atau ustaz?
Maka berkahwin dengan golongan ini, jaminan
bahagia. Benarkah begitu?
Di sinilah penting untuk kita bezakan golongan yang TAHU agama, MAHU beragama dan MAMPU dalam beragama.
Soal mendapatkan ilmu sebagai jalan
beragama, adalah prinsip besar di dalam Islam. Lihat sahaja langkah pertama
proses wahyu, ia bermula dengan perintah BACA sebagai wasilah menggarap
pengetahuan.
Tetapi apakah TAHU itu merupakah maksud
kita beragama dengan agama Islam ini?
Sejauh mana gred 'A' yang digarap dalam subjek "PengeTAHUan
Agama Islam" menjadi bekal dan perisai generasi Muslim dalam beragama?
"Yang memiliki agama" itu lebih luas dari sekadar
sempadan tahu agama. Ia adalah soal MAHUyang
menjadikan pengetahuan agama itu dihayati, dan MAMPU dalam erti dia sentiasa bermujahadah
untuk memperbaiki diri.
Maka janganlah disempitkan maksud mencari yang beragama itu hanya
pada mereka yang berlabelkan "jenama TAHU agama" tetapi apa yang lebih
penting adalah mereka yang MAHUdan
terbukti pada perbuatan hariannya dia sentiasa berusaha menuju MAMPU.
Dia mungkin seorang ustazah.
Dia juga mungkin seorang jurutera dan doktor.
Dia mungkin bertudung labuh.
Dia juga mungkin belum bertudung tetapi sentiasa mencari jalan untuk menuju
kesempurnaan kebaikan. Dia seorang yang membuka dirinya untuk dibimbing dan
diajar. Seorang yang 'teachable".
Hanya 'Beragama'?
Ada pula yang menyangka bahawa kebahagiaan
rumahtangga itu terletak pada beragamanya pasangan kita. Soal harta, keturunan
dan rupa paras tidak punya sebarang makna.
Maka jadilah seorang perempuan itu fasih
lidahnya tentang agama dan rapi pakaiannya sebagai isyarat dia beragama, tetapi
dia tidak mengetahui nilai harta.
Dia boros dan tidak bijak menguruskan harta
rumahtangganya.
Dia nampak elok beragama, malah mungkin
seorang pejuang agama, tetapi dia tidak peduli nilai keturunan dan
kekeluargaan.
Dia tidak menghargai keluarganya sendiri,
tidak menghargai keluarga suami atau juga keluarga isteri.
Padanya, soal keluarga dan keturunan bukan
urusan agama.
Dia bijak dalam memperkatakan tentang
agama, tetapi dia menjadikan alasan agama untuk tidak peduli kepada penampilan
diri. Pakaiannya selekeh atas nama agama, kulitnya tidak dijaga bersih,
beralasankan agama.
Jika perempuan, dia tidak peduli untuk
mewangikan diri atau bersolek mengemas diri, kerana padanya itu semua bukan
kehendak agama, dan si suami menikahinya bukan kerana itu.
Saban hari mukanya bertepek dengan bedak
sejuk dan tubuhnya bersarung baju kelawar. Hambar..
Jika lelaki, dia biarkan diri selekeh dan
sentiasa berkemban di dalam kain pelekat dan baju pagoda, membiarkan bau peluh
jantannya tidak berbasuh, kerana semua itu tiada kena mengena dengan agama.
Jadilah agama, sebagai alasan untuk sebuah
rumahtangga itu menjadi rumahtangga terhodoh, terburuk dan terselekeh... atas
nama berkahwin kerana beragama.
Nah, ini dia anakku…bacalah
olehmu dengan nama Allah… Orang tua ini sudah banyak pengalaman. Kamu anak
muda, binalah dirimu dengan pengalaman orang lalu. Dan orang muda berlalu
sambil mengucapkan terima kasih pada orang tua. Orang tua berjalan lagi. Kali
ini, dia mahu berehat. Rehat yang panjang. Untuk melepaskan kelelahan sepanjang
kehidupannya. Dia berdoa “ ya ALLAH. Engkau bantulah anak muda itu, dia sedang
dalam usaha melengkapkan agamanya. Bantulah DIA, tunjukilah DIA, berikan
padanya sesuatu agar dia mendekat padaMU~