Nikmat apakah yang engkau dustakan?
Dalam mengharungi kehidupan
yang serba mencabar dengan seribu satu dugaan, tidak pernah melepaskan
seseorang muslim daripada tertimpa bala bencana. Kesakitan adalah salah satu
daripadanya. Bezanya hanyalah sama ada kecil atau besar.
Ada orang ditimpa ujian
kehancuran terhadap hartanya. Namun, tidak sedikit pula bagi seseorang yang diuji
dengan kesakitan terhadap dirinya sendiri. Ada yang terlantar bertahun-tahun
kerana mengalami penyakit yang ganjil. Begitu pula ada yang terpisah dengan
anak atau ahli keluarga begitu lama. Semuanya mendera jiwa. Sakit.
Namun, apakah kesakitan
baik yang menimpa anggota tubuh badan, harta atau jiwa itu tanda Allah murka
kepadanya? Atau mungkinkah ia tanda Allah sedang menghapus dosanya? Barangkali
ia merupakan jalan untuk sampai kepada maqam tertinggi di sisi Allah?
Sedangkan, Allah berfirman
di dalam surah At-Tagaabun, ayat 11 yang bermaksud:
"Tidak ada kesusahan
(atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan
sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima
apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha
Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu".
Penceramah bebas, Ustaz
Zaharuddin Abdul Rahman, berkata sakit atau musibah yang terkena kepada
seseorang adalah datangnya daripada Allah SWT. Tujuannya pelbagai dan mempunyai
banyak hikmah untuk direnungi.
Menghapus dosa
Menurutnya, bagi seorang
yang pendosa, musibah atau sakit yang ditanggungnya merupakan salah satu jalan
untuk Allah menghapuskan setiap dosa hamba-Nya. Bahkan ia seharusnya dilihat
sebagai satu terapi untuk menggugurkan kesalahan dan noda pada diri anak Adam.
"Sebagai manusia
biasa, sudah tentu kita tiada terlepas daripada melakukan kesalahan sama ada
secara sengaja atau tidak. Sedangkan dosa itu sebenarnya menjauhkan diri kita
dengan Allah. Jadi hikmah diturunkan kesakitan atau bala bencana itu adalah
sebagai cara untuk Allah menghapuskan dosa kita berkenaan," katanya.
Katanya, ia bersesuaian
dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Tidaklah seorang
muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya melainkan Allah akan menggugurkan
bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya"
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
"Bahkan di dalam satu
lagi riwayat, Rasulullah bersabda bahawa dengan hanya tertusuk duri sekalipun,
Allah bersedia untuk meninggikan darjat seseorang itu dan menghapuskan satu
kesalahan dirinya.
"Jadi, jangan pandang
sakit itu sebagai penderaan dan jangan pula mudah berburuk sangka kepada Allah.
Bahkan sebaiknya kesakitan atau musibah itu dipandang sebagai nikmat untuk
Allah membersihkan diri kita daripada segala dosa dan noda," ujarnya.
Sakit yang meninggikan darjat
Zaharuddin berkata, selain
untuk menghapuskan dosa, kesakitan atau bala bencana yang menimpa seseorang
juga merupakan jalan untuk Allah meninggikan darjat seorang hamba-Nya. Walaupun
ia mungkin dilihat sebagai teruk di mata manusia, namun hikmahnya hanya Allah
yang mengetahui.
Menurutnya, kisah Nabi Ayub
ketika bersabar menerima ujian kesakitan terhadap dirinya merupakan contoh yang
baik. Betapa Nabi Ayub mempunyai kedudukan mulia di sisi Allah, namun masih
mampu berbaik sangka kepada Rabb.
"Sudahlah dirinya
ditimpa penyakit, anak-anak dan isteri juga menjauhinya. Namun Nabi Ayub tetap
bersabar menerimanya sehinggalah Allah mengembalikan semula kesihatan kepadanya
dan ditinggikan pula darjat di sisi-Nya.
"Jadi, sakit itu dan
kesabaran Nabi Ayub dalam melalui ujian Allah berkenaan punya hikmah yang
besar. Bukankah semua itu datangnya daripada Allah dan kepada Allah jua harus
dikembalikan semuanya?" ujarnya.
Sakit rohani punca kejahatan
Seorang manusia apabila
mengalami sakit fizikal, pasti akan bertemu dengan doktor untuk mendapatkan
rawatan. Bahkan jika lebih parah, doktor pakar akan menjadi tempat rujukan.
Selepas itu barulah rawatan dan ubat diberikan bagi menyembuhkan sakit
berkenaan.
Bagaimana pula dengan sakit
batin? Kesakitan yang tidak dapat dilihat pada luaran. Namun ia bagaikan
membarah di dalam dada. Ternyata bukan kecil sakitnya itu. Bahkan mampu
merosakkan seluruh anggota badan yang lain.
Zaharuddin ketika mengulas
mengenainya berkata, penyakit batin seperti dendam, menipu, bongkak serta
pelbagai lagi adalah berpunca daripada hati yang sakit. Bahkan ada yang sampai
ke peringkat hatinya terlalu kotor sehingga menggelapkan ruang di dalamnya.
"Ia adalah penyakit
rohani. Berpunca daripada dosa yang terlalu banyak sehingga menggelapkan
hatinya untuk melakukan kebaikan. Hatinya mudah melakukan kejahatan. Kemudian
mendorong anggota badan melaksanakan agenda jahatnya itu. Begitu juga dengan makanan
yang diambil dan dimasukkan ke dalam perut sehingga membentuk daging. Ada orang
yang mengambil makanan daripada sumber yang haram. Ia sekaligus menggelapkan
hati.
"Bahkan ada orang yang
tidak tahu bahawa dirinya berdosa. Membiarkan seluruh anggota badan melakukan
maksiat sehingga hati sudah tidak mampu melihat cahaya Islam yang
sebenar," ujarnya.
Taubat menyucikan dosa dan noda
Menurut Zaharuddin, taubat
nasuha dan penyelesalan terhadap dosa-dosa yang dilakukan selama ini dapat
menyelamatkan rohani seseorang daripada terus mengalami kesakitan yang parah.
Katanya, Allah sentiasa
membuka ruang kepada hamba-hamba-Nya yang berlumpur dosa serta noda untuk
kembali membersihkan diri mereka dengan cara bertaubat. Ujarnya, ini sesuai
dengan sabda Rasulullah yang bermaksud:
"Setiap anak Adam itu
berdosa dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah yang memohon taubat kepada
Tuhannya" (Hadis riwayat At-Tarmizi).
Tahukah kita bahawa di sebalik
kesakitan yang kita perolehi itu ada kenikmatan yang dianugerahkan oleh-Nya?
Tetapi betapa sikitnya umat manusia yang bersyukur atas nikmat yang diberi ini
walaupun mensyukuri nikmat itu suatu kewajipan atas orang yang beriman.
Manakala kesihatan merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah
kepada hamba-hambanya.
Namun kenikmatan ketika sakit itu hanya
dapat diukur oleh orang yang sedang sakit. Manusia dapat menilai erti kesihatan
hanya apabila nikmat tersebut hilang. Bilamana sakit tersebut menimpa, maka
sekali gus telah melenyapkan kebahagiaan.
Dalam sebuah hadis riwayat Imam al-Bukhari daripada Ibn Abbas
r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "ada
dua nikmat yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia iaitu kesihatan dan
waktu lapang."
Namun sebagai orang hamba yang beriman, apabila ditimpa musibah
penyakit ia tetap berzikir kepada Allah, bersyukur, bersabar dan mengharapkan
ganjaran pahala. Sebagai mana sebuah hadis riwayat Muslim daripada Suhaib r.a.,
beliau berkata: "Rasulullah s.a.w. bersabda (yang bermaksud): 'sungguh ajaib keadaan seorang mukmin. Seluruh
keadaanya pasti menjadi baik. Dan ia tidak dimiliki oleh sesiapa pun melainkan orang
beriman. Apabila ia memperoleh kenikmatan, ia akan bersyukur, maka kesenangan
itu akan menjadi kebaikan buat dirinya."
Betapa Beruntungnya Orang yang Sakit
Sekiranya orang yang sakit mahu merenung
pelbagai keuntungan dan kebaikan dari penyakitnya, nescaya ia tidak akan
mengangankan kesembuhan daripada penyakit tersebut.
Salah satu kelebihan sakit ialah ia dapat mengangkat darjat seseorang di
sisi Allah. Sebuah hadis riwayat al-Tirmizi daripada Anas bin
Malik r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya
balasan pahala yang besar diperoleh melalui ujian yang besar. Kalau Allah
mencintai seseorang, pasti Allah akan memberikan ujian kepadanya. Sesiapa yang
redha menerima ujian Allah, maka baginya keredhaan-Nya. Dan sesiapa yang kecewa
menerimanya, nescaya ia akan menerima kemurkaan-Nya."
Apabila cubaan dan penyakit menimpa orang yang memiliki hubungan
yang baik dengan Allah, lalu ia mampu bersabar, nescaya semuanya itu menjadi
tanda kebaikan dan tanda cinta kasih daripada Tuhannya. Sebuah hadis riwayat
al-Tirmizi, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Kalau
Allah menginginkan kebaikan bagi seseorang hamba, maka Allah percepatkan
seksaan di dunia."
Abdullah bin Mas'ud r.a. pernah menemui
Rasulullah s.a.w. ketika Baginda mengalami demam yang amat teruk. Beliau
bertanya: "Wahai Rasulullah! Engkau juga mengalami demam seteruk
ini?" Baginda menjawab: "Betul. Bahkan aku merasa demam dua kali
ganda lebih berat daripada yang biasa kamu rasakan." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sa'ad bin Abi Waqqas pernah ditanya seseorang: "Siapakah
orang yang paling berat cubaannya?" Beliau menjawab: "Rasulullah
s.a.w. pernah bersabda (yang bermaksud): 'Orang paling berat cubaannya ialah
para nabi, kemudian diikuti orang yang berikutnya (iaitu orang dibawah
kedudukan mereka) secara berturut. Seseorang hamba akan mendapat cubaan sesuai
dengan kadar imannya. Sekiranya imannya kuat, maka cubaan yang menimpanya juga
berat. Sekiranya imannya lemah maka cubaan yang menimpanya sesuai dengan kadar
imannya. Cubaan akan terus menimpa seorang hamba, sehinggalah ia berjalan di
bumi tanpa memiliki sekelumit dosa pun."
Suatu hari, Rasulullah s.a.w. datang menemui Ummu al-Saib. Baginda
bertanya: "Kenapa engkau menggigil seperti itu wahai Ummu
al-Saib?" Wanita itu menjawab: "Demam, Allah tidak memberkati padanya."
Rasulullah s.a.w. bersabda: "Jangan engkau mengutuk penyakit demam kerana
penyakit itu boleh menghapauskan dosa anak-anak adam..."
Ulama'
Mengharapkan Sakit
Imam Ibn Abi al-Dunya menceritakan: "Sesungguhnya
para ulama' dahulu mengharapkan ditimpa demam satu malam agar diampunkan
dosa-dosa mereka yang lampau."
Mengapa perlu bersedih apabila ditimpa
penyakit? Kemungkinan dengan penyakit itu kita memiliki kedudukan di sisi Allah
Taala yang tidak dapat dicapai oleh perbuatan amal ibadat. Jadi, Allah terus
memberi cubaan kepada kita dengan hikmah-Nya yang mungkin kita tidak
menyukainya, lalu ia mengurniakan kepada kita kesabaran dalam menghadapinya
sehingga kita mencapai kedudukan tersebut.
Antara Maha Lembutnya Allah s.w.t. dan
rahmat-Nya, bahawa apabila Allah menutup satu pintu kebaikan bagi seseorang,
nescaya ia akan membuka banyak lagi pintu kebaikan yang lain. Bagi orang yang
sakit, Allah tidak menghalangnya daripada mendapat pahala daripada pelbagai
ibadah yang biasa mereka lakukan, meskipun mereka tidak menyempurnakan lagi
kerana mereka sakit.
Sebuah hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari, daripada Abu Musa
al-'Asy'ari r.a., beliau bercerita:"Rasulullah
s.a.w. bersabda: 'Kalau seseorang hamba sakit atau sedang bermusafir, pasti
Allah akan menulis baginya pahala seperti ketika ia mengamalkan ibadah semasa
masih sihat dan sedang bermukim."
Kemuliaan apa lagi yang mahu diperoleh
setelah diberikan Allah kemuliaan ini? Keutamaan apa pula yang lebih luas
selain daripada keutamaan dari Allah yang mengurniakan pelbagai kenikmatan?
Ketika sakit, seorang hamba berehat, namun Allah masih menulis pahala daripada
ibadah dan perbuatan baik yang diamalkan semasa sihat.
Jangan
Risau! Setiap Kesukaran Itu Ada Kemudahan
Sesungguhnya setiap kali Allah mendatangkan
kesusahan, pasti Allah mendatangkan kemudahan sesudahnya. Ini kerana ia menjadi
sunnatullah yang berlaku terhadap makhluk-Nya.
Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Insyirah ayat 5 hingga 6 yang bermaksud: "Kerana
sesungguhnya sesudah kesusahan itu, ada kemudahan(5). Sesungguhnya sesudah
kesusahan itu ada kemudahan(6)."
Boleh jadi pelbagai kesukaran dan kesulitan
itu membuatkan seseorang hamba itu tertekan jiwanya, namun pasti akan ada jalan
keluar dari sisi Allah yang akan diperolehnya. Mungkin sahaja seseorang yang
menghadapi saat kesukaran dan dirasakan tidak akan dapat memperoleh
penyelesaian, tiba-tiba terbuka di hadapannya jalan keluar yang tidak pernah ia
terfikir sebelumnya.
Bagi orang diberi ujian(penyakit) daripada
Allah, janganlah kita berburuk sangka kepada Allah, berasa kecewa dan berputus
asa kerana apa-apa sahaja yang terdapat dalam persangkaan seorang hamba, maka
begitulah yang Allah lakukan terhadapnya.
Jika hamba itu bersangka baik kepada-Nya,
maka Allah akan memberikannya perkara-perkara yang baik. Sebaliknya jika
hambanya bersangka buruk terhadap dirinya, maka Allah menganggap ia sebagai
satu doa, bahkan Allah akan mengabulkan doa itu sesuai dengan permintaannya
sebagaimana hadis riwayat oleh Imam Ahmad:
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang
bermaksud: "Bahawa Allah Azzawajalla berfirman: 'Aku hanya mengikut
sangkaan hamba-Ku sahaja. Kalau ia bersangka baik kepada-Ku, Aku pun akan
berbuat begitu. Kalau ia bersangka buruk kepada-Ku, Aku pun akan berbuat begitu
terhadapnya."
Akhir kalam, Sentiasalah bersabar atas
dugaan kesakitan yang diberi kerana sedetik masa orang yang sakit itu dinilai
oleh-Nya. Mungkin nilaian inilah yang memberatkan timbangan amal kita apabila
dihisab di akhirat nanti. Wallahua'lam.
Rasa cinta pasti ada, Pada
makhluk yang bernyawa
Sejak lama sampai kini, Tetap suci dan abadi
Takkan hilang selamanya, Sampai datang akhir masa.
Perasaan insan sama, Ingin mencinta dan dicinta
Sejak lama sampai kini, Tetap suci dan abadi
Takkan hilang selamanya, Sampai datang akhir masa.
Perasaan insan sama, Ingin mencinta dan dicinta
Bukan ciptaan manusia, Tapi
takdir yang kuasa
Janganlah engkau mungkiri,
Segala yang Tuhan beri
**RENUNGKANLAH "ALBUM
PELITA HIDUP III: ARTIS HIJJAZ"***
"Cinta ada kekuatan
yang mampu..
mengubah duri jadi mawar, mengubah cuka jadi anggur
mengubah malang jadi untung, mengubah sedih jadi riang
mengubah setan jadi manusia, mengubah iblis jadi malaikat
mengubah sakit jadi sihat, mengubah bakhil jadi dermawan
mengubah kandang jadi taman, mengubah penjara jadi istana
mengubah amarah jadi ramah, mengubah musibah jadi mahabbah
mengubah duri jadi mawar, mengubah cuka jadi anggur
mengubah malang jadi untung, mengubah sedih jadi riang
mengubah setan jadi manusia, mengubah iblis jadi malaikat
mengubah sakit jadi sihat, mengubah bakhil jadi dermawan
mengubah kandang jadi taman, mengubah penjara jadi istana
mengubah amarah jadi ramah, mengubah musibah jadi mahabbah
Itulah dia Cinta.."
"Sekalipun cinta telah
kuuraikan, dan kujelaskan panjang lebar, namun jika cinta kudatangi, aku jadi
malu pada keteranganku sendiri..
Meskipun lidahku telah
mampu menguraikan dengan terang, namun tanpa lidah, cinta ternyata lebih
terang, sementara pena begitu tergesa-gesa menuliskannya, kata-kata pecah
berkeping-keping begitu sampai kepada cinta, dalam menguraikan cinta, akal
terbaring tak berdaya bagaikan keledai terbaring dalam lumpur..
Cinta sendirilah yang
menerangkan cinta dan percintaan.."
**DIPETIK DARI FILEM
"KETIKA CINTA BERTASBIH (1)"***
Melayari kehidupan dunia
bagaikan melayari ombak yg sentiasa tidak tenang, dengan tenggelam timbulnya
pelbagai perasaan dan emosi. Hanya DIA yang Maha Mengetahui kehebatan dugaan
ini.
Terutama apabila dikaitkan
dengan perasaan dan rasa cinta fitrah yg diciptakan Allah bersama-sama
penciptaan kita di dunia ini, sama ada yg bakal dialami atau sedang dialami
oleh sesiapa sahaja, terutama golongan remaja.
Pelbagai ragam disaksikan
oleh seluruh dunia, akibat penangan cinta yg diibaratkan api menyala-nyala, yg
mana lagi disimbah, lagi marak ia menyala. Sehubungan itu, utk
memadamkannya terus pasti sesuatu yg mustahil utk dilakukan.
Namun, jika ini fitrah
dariNYA, maka yg pasti DIA tidak akan menzalimi hambaNYA, dan sudah pasti
tersedia satu panduan pengawalan kepada fitrah ini.
Sebagaimana diketahui,
nyalaan api memang membahayakan jika dibiarkan, namun jika dikawal dan
diekploitasi dgn baik, berbahaya akan bertukar menjadi bermanfaat, seperti utk
dijadikan bara memanaskan badan, atau untuk dijadikan tempat memanggang.
Apakah panduan yg DIA
sediakan itu? Jawapannya adalah sunnah Rasulullah SAW yg amat menggalakkan
perkahwinan. Kerana hanya kahwin dapat membendung fitrah ini, cinta yg
halal disebabkan satu ikatan suci.
Dalam mencari keredaanNYA,
perjalanan utk mendapatkan cinta yg halal itu perlu diambil perhatian
sebenar-benarnya agar tidak terpesong dek desakan dan hasutan Iblis dan
konco-konconya dalam memperindahkan maksiat kpd Al-Khaliq SWT.
Oleh itu, di sini diberikan
satu garis panduan dalam mendapat keredhaannya dalam menelusuri medan pencarian
cinta yg halal, dengan berpandukan Ayat 235, Surah Al-Baqarah:
وَلاَ جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا عَرَّضْتُم بِهِ مِنْ خِطْبَةِ
النِّسَاء أَوْ أَكْنَنتُمْ فِي أَنفُسِكُمْ عَلِمَ اللّهُ أَنَّكُمْ
سَتَذْكُرُونَهُنَّ وَلَـكِن لاَّ تُوَاعِدُوهُنَّ سِرّاً إِلاَّ أَن تَقُولُواْ
قَوْلاً مَّعْرُوفاً وَلاَ تَعْزِمُواْ عُقْدَةَ النِّكَاحِ حَتَّىَ يَبْلُغَ
الْكِتَابُ أَجَلَهُ وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللّهَ يَعْلَمُ مَا فِي أَنفُسِكُمْ
فَاحْذَرُوهُ وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللّهَ غَفُورٌ حَلِيمٌ
"Dan tidak ada dosa
bagi kamu meminang wanita-wanita itu dengan sindiran atau kamu menyembunyikan
(keinginan mengahwini mereka) dalam hatimu. Allah mengetahui bahwa kamu akan
menyebut-nyebut mereka, dalam pada itu janganlah kamu mengadakan janji kahwin
dengan mereka secara rahsia, kecuali sekadar mengucapkan (kepada mereka)
perkataan yang ma'ruf. Dan janganlah kamu ber'azam (bertetap hati) untuk
beraqad nikah, sebelum habis 'iddahnya. Dan ketahuilah bahwasanya Allah
mengetahui apa yang ada dalam hatimu; maka takutlah kepada-Nya, dan ketahuilah
bahwa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun."
Walaupun ayat ini,
diturunkan bagi penerangan cara melamar dan mengahwini wanita yg masih dalam
iddah (dari penceraian hidup atau mati), namun caranya masih boleh dipraktikkan
dalam pencarian cinta halal yg diredhaiNYA sentiasa.
Melalui rujukan Tafsir Ibn
Kathir, berikut dinyatakan langkah yg perlu diambil perhatian sepanjang
perjalanan mendapatkan cinta yg terbaik lagi halal, apabila seseorg lelaki
berkenan kpd si dia (perempuan) sebagaimana dinyatakan dlm ayat di atas:
(1) Menyatakan perasaan
melalui sindiran dgn kata2 kinayah/berlapik (tersirat) yg baik-baik
(2) Menyembunyikan perasaan
di dalam hati dan hanya menyebut-nyebutnya di kalangan org lain, tidak
kepadanya secara jelas.
(3) Dilarang
sekeras-kerasnya membuat janji rahsia dengan melafazkan perkataan yg tidak
sepatutnya secara jelas dan boleh membawa kelalaian dan kemabukan cinta,
seperti melafazkan (Aku Cinta Padamu, dan Aku berjanji akan berkahwin dgn mu),
tetapi memadailah sekadar kata-kata kinayah/sindiran yg baik (antara sindiran
yg baik, saya tertarik/minat dgn mu!) dan yang penting disusuli dengan
pengetahuan wali/keluarga.
Daripada langkah yang
disebut jelas oleh Allah SWT sebagai panduan, perlu ditekankan juga,
segala-galanya juga perlu disandarkan dengan pergantungan kepadaNYA iaitu
dengan ISTIKHARAH. Yangg pasti, tiadalah penyesalan/kekecewaan/putus asa bagi
yg meminta petunjuk keputusan dariNYA.
Dinasihatkan dalam sebuah
athar :
ما خاب من استخار ولا ندم من استشار
Ertinya : Tidaklah rugi
sesiapa yang beristikharah ( meminta petunjuk) dan tidak menyesal mereka yang
bermesyuarat ( Al-Awsat, At-Tabrani, 6/365)
Dengan mengikuti cara-cara
yang Nabi Muhammad SAW tunjukkan, dan dengan doa lengkap baginda ajarkan khas
utk ummatnya, maka InsyaAllah di sana akan ada petunjuk terbaik.
Memadailah kita berusaha
dengan strategi dan perancangan, dan selebihnya urusanNYA yg menentukan terbaik
utk kita, kerana "Ada hal-hal yang harus difikirkan manusia, tetapi
ada juga hal-hal yg BUKAN HAK manusia utk memikirkannya.."
Tentang jawapan atau
petunjuk Istikharah, tidak menjadi kemestian melalui mimpi atau sebarang
petunjuk tertentu, dan kadang-kadang/kebanyakan petunjuk mimpi bukanlah
petunjuk yg paling tepat kerana kita bukanlah seseorg yg bersih hatinya, dan
kemungkinan mimpi kita telah diganggu oleh Syaitan untuk memayahkan kita dengan
jawapan itu.
Justeru, apa yang
dianjurkan adalah istikharah diteruskan sehingga ikatan pertalian telah selesai
dilaksanakan, dan jawapan sebenar kepada istikharah adalah kelancaran
perhubungan kita dengan si dia, tanpa ada sebarang halangan di tengah-tengah
jalan.
Berikut adalah beberapa
bentuk jawapan yg bakal kita dapat hasil istikharah berterusan dan hikmahnya.
(1) Jika diberi petunjuk
positif, maka Alhmdulillah. Dan teruskan istikharah dan sentiasa
bersyukur kepadaNYA. Hikmahnya adalah TIADA RUGI..
(2) Jika negatif
jawapannya, maka itu lah dia hikmah Istikharah iaitu TIDAK KECEWA.
(3) Jika lambat mendapat
keputusan maka hikmah Istikharah iaitu TIDAK PUTUS ASA.
Wallahu'alam..
Kesalahan yg biasa
dilakukan oleh dua pasangan dalam istikharah, di sini ditegur dan disyorkan
penyelesaian seikhlasnya utk kedua-dua, sama ada lelaki atau perempuan:
(1) Sekiranya hasil istikharah
menunjukkan ketidakselesaan (dan dia merasakan ini jawapan) pada hati kepada
salah seorg, maka dinasihatkan memberitahu kpd pasangan dengan sebaik mungkin,
dan diberhentikan..dalam masa yg sama istikharah diteruskan.
(2) Jika didapati jawapan
adalah positif, maka digalakkan disegerakan perkahwinan berserta diteruskan
lagi istikharah, agar tiada masalah di sepanjang pelaksanaan.
(3) Jika belum mendapat
apa-apa kepastian jawapan, maka digalakkan meneruskan istikharah dengan lebih
istiqamah.
Adalah menjadi kesalahan
dan satu kesilapan besar apabila masing-masing membuat istikharah dan mendapat
jawapan, tetapi menyatakan "Saya sudah melaksanakan istikharah, dan
jawapannya tidak boleh diberitahu (dirahsiakan), cukuplah saya dan Allah sahaja
yg mengetahuinya".
Kenapa kenyataan ini salah,
walaupun seolah-olah jika kita perhatikan mempunyai unsur-unsur pergantungan yg
tinggi kepada Allah?
Betul! pergantungan
kepadaNYA begitu tinggi (hablun minallah memang hebat), tetapi ke mana pergi
hablun minan nas. Tidakkah dengan jawapan "gantung tidak bertali" ini
akan menyebabkan pihak yg sedang menunggu jawapan, tertunggu-tunggu. Dan
ternanti-nanti, malah menyebabkan fikiran pihak itu terganggu dalam segala
urusan, hati pihak itu juga tidak akan tenang.
Alangkah baiknya, jika
berterus terang.
قل الحق ولو كان مرا
(Katakanlah benar walaupun
pahit), kata-kata Hikmah ini memadai utk menjawab segala-galanya, kerana dengan
berterus-terang dan jujur, banyaknya kebaikan dan manfaat untuk semua.
Cukup mudah disebut, tapi
agak susah dilaksanakan..BERTERUS TERANG dan JUJUR..
Seterusnya, dinasihatkan
kepada yang sedang mengalami masalah ketidakstabilan emosi dalam menghadapi
gelombang cinta ini. Tiada cinta yg sebenarnya kecuali hanya selepas
dihalalkan dengan ikatan pernikahan, dan untuk ke arah itu, persediaan mental
dan fikizal amat penting.
Oleh itu, sebelum melayan
alunan cinta, pastikan kita cukup bersedia dengan perancangan ke arah utk
menghalalkan perhubungan, bukan sekadar mahu melayan mengikut tuntutan nafsu
muda semata-mata.
Jika perancangan belum
pernah terlintas atau perjalanan masih jauh, adalah dinasihatkan cubalah sedaya
upaya mengawal arus deras cinta yg hanya bakal menghanyutkan.
Sekali kita hanyut,
selamanya kita akan menyesal, kerana dibimbangi KAFFARAH (penghapusan) dosa
akan diterima apabila kita berkahwin kelak. Memang alunannya mengasyikkan
sebelum kahwin, tetapi apabila setelah kahwin, alunan ini akan bertukar menjadi
sumbang dan menyakitkan telinga.
Kerana percayalah, modus
operandi Iblis dan konco-konconya hanyalah mencantikkan serta memperindahkan
maksiat, dan menghodohkan serta memburukkan ibadah.
Akhirnya, nasihat ringkas
untuk semua yg terlibat dgn hal-hal ini, mulakan dengan ISTIKHARAH pada hari
ini, bukan dengan menetapkan "nama si dia" tetapi memadailah dengan
menyatakan kepadaNYA "jodoh terbaik untukku"..agar hasil istikharah
kita yg berterusan itu, dan jawapannya adalah sesuatu yg terbaik bakal DIA
takdirkan.
Bagi mereka yg sedang dalam
lamunan dan hanyut ombak, fikir-fikirkanlah utk menghalalkannya, dan jika masih
belum bersedia, jangan sesekali bermain "api".
Dan bagi yang belum tiada
dan masih dalam proses mencari atau masih belum memikirkan, maka sentiasalah
berdoa ada diketemukan yang terbaik dari sisiNYA, dan setiap takdirNYA itu
dirangkaikan dengan keredhaannya semata-mata.
Satu analogi utk seseorg yg
bersedia ke arah cinta halal atau yg sedang bercita-cita ke arah itu..
"Untuk menjadi
nakhoda, apa yang penting pada mulanya adalah persiapan sebuah bahtera yang
lengkap dan berusaha sedaya mungkin untuk melihat dari segenap penjuru tentang
keadaan bahtera tersebut. Seterusnya, nakhoda juga perlu menyiapkan diri dengan
ilmu-ilmu pengendalian bahtera, serta ilmu-ilmu teknikal yang berkaitan, agar
dengan membawa masuk anak-anak kapal ke dalam bahtera seterusnya berlayar,
dapat menjamin keselesaan mereka semua. Yang pasti setiap bahtera
berlainan nakhoda dan berlainan lautan menjanjikan pelbagai peristiwa/dugaan
yang bakal ditempuh, dan ini semua diatasi dengan ilmu-ilmu yg telah dilengkapi
sebelum ini.."
"jika hanya mendayung
sampan, jangan sesekali menduga lautan dalam, jika hanya persediaan terlalu
sedikit dan masih belum tetap pendirian serta keyakinan, jangan sekali mencuba
utk memasuki alam perkahwinan yg menanti dgn 1001 warna kehidupan.."
Walau bagaimanapun, SABAR,
TAWAKKAL & TAQWA itulah kunci segala-galanya..
اللهم إني أسألك حبك وحب من يحبك وحب ما يقرني إليك وأدخلني الجنة مع
الحب
Ya Allah, aku memohon
kecintaanMU, kecintaan orang yang sentiasa mencintaiMU, kecintaan apa sahaja
mendekatkan diriku kepadaMU, dan masukkanlah aku ke syurga bersama-sama
kecintaan itu..
PERKONGSIAN untuk diri dan orang lain~Sebarkan ilmu walau
satu ayat~
0 komentar:
Catat Ulasan