Puasa di Bulan Sya’ban
Tanggal 21 Jun 2012 bersamaan 1 Sya’ban 1433H
Rahsia Galakan Berpuasa: Kelebihan BerIbadah Ketika Manusia Lalai
Usamah Bin Zaid RA berkata: Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: Ya Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa pada bulan-bulan lain sebagaimana (kerapnya) engkau berpuasa di bulan Sya’ban. Baginda SAW menjawab: Bulan tersebut merupakan waktu manusia lalai iaitu antara Rejab dan Ramadhan. Ia merupakan bulan yang mana pada bulan tersebut amalan diangkat kepada Allah. Aku suka amalan aku diangkat ketika aku berpuasa. (Imam an Nasaie di dalam as-Sunan al-Kubra: 2642)
Imam Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan: Di dalam hadith ini terdapat dalil menunjukkan digalakkan berIbadah di saat-saat manusia lain lalai daripada ketaatan, dan ia merupakan perbuatan yang disukai oleh Allah. Ia sebagaimana yang dilakukan oleh generasi salaf, mereka suka menghidupkan waktu antara dua Isya’ dengan mendirikan solat.
Mereka berkata: Itu merupakan saat manusia lalai, maka begitu juga dengan kelebihan melakukan Qiamullail pada pertengahan malam kerana kelalaian ramai manusia pada ketika itu daripada mengingati Allah. (Lathoif al-Maarif m/s 109)
Dalil-Dalil Membanyakkan Puasa di Bulan Sya’ban
“Rasulullah SAW biasa berpuasa hingga kami menyatakan baginda tidak pernah berbuka (maksudnya setiap hari berpuasa). Baginda SAW turut berbuka sehinggakan kami menyatakan bahawa baginda tidak berpuasa. Aku tidak pernah sama sekali melihat Rasulullah SAW berpuasa sebulan penuh selain pada bulan Ramadhan. Aku pun tidak pernah melihat baginda berpuasa yang lebih banyak daripada berpuasa di bulan Sya’ban.” (Sahih al-Bukhari: 1843)
Bolehkah Berpuasa Penuh Sebulan di Bulan Sya’ban?
Daripada  Abu Salmah: Aku telah bertanya kepada ‘Aisyah RA tentang puasa Rasulullah SAW, beliau menjawab: Baginda sering berpuasa sehingga kami menyatakan sesungguhnya dia berpuasa, dan baginda sering berbuka (tidak berpuasa) sehingga kami berkata: Baginda tidak berpuasa. Aku tidak pernah melihat dia berpuasa melebihi jumlah puasanya di bulan Sya’ban. Baginda berpuasa di bulan Sya’ban keseluruhannya, baginda berpuasa di bulan Sya’ban kecuali sedikit sahaja (hari yang baginda tidak berpuasa) (Sahih Muslim: 1964)
Ummu Salamah RA menyatakan bahawa nabi SAW tidak pernah berpuasa sunat sebulan penuh kecuali Sya’ban dan diteruskan dengan berpuasa (fardhu) Ramadhan. (Sunan Abu Daud: 1993)
Yang dimaksudkan dengan ‘sebulan penuh’ ialah kebanyakan hari di bulan Sya’ban, dan bukannya Nabi SAW berpuasa penuh seperti Ramadhan.
Yang dimaksudkan oleh kedua hadith yang satunya menyebutkan berpuasa pada kebanyakan (hari) di bulan Sya’ban, dan hadith yang menyebutkan berpuasa pada keseluruhan Sya’ban, al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan di dalam Fathul Bari: Ia sebagaimana kata Ibn Mubarak bahawa riwayat yang pertama (yang menerangkan berpuasa pada kebanyakan hari bulan Sya’ban) menafsirkan  riwayat yang kedua (yang menyatakan berpuasa keseluruhan Sya’ban), yang mana perkataan ‘keseluruhan’ bermaksud ‘kebanyakan’.  (Tuhfatul Ahwazi: Bab Menyambungkan (Puasa) Sya’ban dan Ramadhan)
Sumber:

0 komentar:

Catat Ulasan